Kuala Lumpur juara Piala Agong
KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur menghantar amaran awal menjelang Piala Emas Raja-Raja 100 Tahun apabila mengungguli Piala Agong dengan membelasah Pahang 4-1 pada aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, kelmarin.
Skuad bimbingan Zulkifli Samion itu bukan setakat merampas trofi itu daripada penyandang edisi 2019 pada aksi pembuka tirai, malah turut menggondol wang tunai sebanyak RM10,000.
Kuala Lumpur yang juga naib juara Piala Emas Raja-Raja 2019 meledak empat gol menerusi Nabilah Khan Razali pada minit ke-20 dan m27, sepakan penalti M Dinesh (m39) dan Azman Othman (m62).
Gol sagu hati Pahang yang juga juara hatrik Piala Agong 2017, 2018 dan 2019 disumbangkan oleh Firdaus Paris pada minit ke-32.
Selaku naib juara, skuad kendalian Zulhamizan Zakaria itu membawa pulang sagu hati sebanyak RM5,000.
Edisi ke-80 kali ini menyaksikan Kuala Lumpur diundi dalam Kumpulan C Zon Tengah bersama Selangor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pasukan jemputan muka baharu, MySPRM-ACeIO.
Pahang pula menganggotai Kumpulan B Zon Timur dengan satu lagi pendatang baharu, Bomba Malaysia, Terengganu-Jakim FC dan Kelantan.
Sebagai rekod, Piala Emas Raja-raja tidak dapat dilangsungkan pada 2020 dan 2021 akibat pandemik COVID-19.
Pasukan jemputan, Majlis Sukan India Malaysia (MISC) menjuarainya tiga tahun lalu dengan menewaskan Kuala Lumpur 2-1 di stadium sama.
BHOnline