Loji nuklear Fukushima lapor kebocoran

Oleh – Syeikh Baran


Loji nuklear Fukushima lapor kebocoran
Gambar edaran Tokyo Electric Power Co (TEPCO) menunjukkan kebocoran (tengah) yang dikesan dari lohong pelepasan air terawat di loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi. – Foto AFP

Dianggarkan 5,500 liter air radioaktif bocor dari loji nuklear Fukushima Jepun tetapi tiada tanda pencemaran dikesan di luar kemudahan terbabit setakat ini.

Jurucakap Tokyo Electric Power Co (TEPCO) memberitahu AFP kebocoran itu dikesan di bahagian loji yang memproses air tercemar.



“Kami menganggarkan kira-kira 5.5 tan (5,500 liter) air bocor pada pagi Rabu, tetapi tiada perubahan ketara pada pos memantau radioaktiviti di sekitar stesen janakuasa,” katanya.

Bagaimanapun, TEPCO bercadang untuk mengeluarkan tanah dari sekitar kawasan yang mungkin tercemar.

Jurucakap TEPCO itu tidak memberikan butiran khusus mengenai lokasi air bocor.

Loji Fukushima musnah akibat gempa bumi besar dan tsunami pada 2011 yang mengorbankan 18,000 orang. Ia adalah salah satu bencana nuklear terburuk dalam sejarah.



Operasi pembersihan dijangka mengambil masa beberapa dekad, dengan tugas paling berbahaya mengeluarkan bahan api radioaktif dan sisa runtuhan daripada tiga reaktor yang terjejas, masih belum bermula.

Pada Ogos lalu, Jepun mula melepaskan 1.34 juta tan air sisa terawat yang terkumpul sejak malapetaka, secara beransur-ansur ke Lautan Pasifik, menyatakan ia tidak lagi berbahaya dan sudah banyak kali dicairkan dengan air laut.

Pandangan itu disokong oleh badan pemantau atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tetapi China dan Russia mengkritik pelepasan itu dan mengharamkan import makanan laut Jepun.

Kebocoran yang dilaporkan itu berlaku di kemudahan yang memproses air sebelum kebanyakan unsur radioaktif ditapis di satu lagi kemudahan canggih yang berasingan dikenali sebagai ALPS.



TEPCO berkata kebocoran di lohong itu dikesan oleh seorang pekerja yang sedang membersihkan lohong sebelum mengendalikan kemudahan itu.

“Lohong perlu ditutup semasa pembersihan, tetapi kali ini ia dibuka,” kata jurucakap itu.

Dalam kejadian berasingan, asap dan percikan api dikesan pada Khamis di kipas loji janakuasa nuklear Tsuruga, yang sedang dalam proses pelupusan.

“Keadaan itu diselesaikan serta-merta tanpa kecederaan atau kebocoran bahan radioaktif,” kata jurucakap pengendali Japan Atomic Power. – AFP



Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button