Pemandu lori direman 3 hari, miliki 33 rekod saman

Johor Bahru: Pemandu lori yang terbabit dalam kejadian kemalangan 12 kenderaan di Tambak Johor menghala Singapura semalam, direman tiga hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru, Melody Woon Sze Mun terhadap suspek yang berusia 34 tahun itu.

Siasat lanjut ke atas suspek dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 198.7

Suspek yang memakai baju T berwarna hitam dan berseluar jeans biru tiba di pekarangan mahkamah dalam keadaan bergari kira-kira jam 10 pagi.

Suspek turut menutup wajahnya dengan baju bagi mengelak dirakam pengamal media yang hadir membuat liputan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.25 pagi semalam, sebanyak 11 kenderaan dirempuh lori dipandu suspek yang didakwa hilang kawalan kerana mengalami masalah teknikal pada brek.

Kemalangan itu membabitkan sebuah lori, sebuah bas, sebuah van dan sembilan buah kereta dengan enam daripadanya adalah kenderaan tempatan, manakala enam yang lain bernombor pendaftaran negara asing.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa suspek mempunyai 33 rekod saman lampau atas pelbagai kesalahan trafik.

Menurutnya, lelaki warga tempatan itu juga mempunyai enam saman yang masih belum dijelaskan.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati dia negatif dari sebarang jenis dadah,” katanya.

METRO

Leave a Reply