Dakwaan rasuah Agong PN disiasat

Oleh – Syeikh Baran


Dakwaan rasuah Agong PN disiasat

Polis memulakan siasatan berhubung dakwaan cubaan memberi rasuah oleh Perikatan Nasional (PN) kepada Yang di-Pertuan Agong sebanyak RM1 bilion untuk menjatuhkan kerajaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, satu kertas siasatan  dibuka oleh PDRM di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan  Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut beliau, sebanyak empat laporan polis telah diterima berhubung isu ini setakat ini.



“Kes masih di peringkat siasatan dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan komentar yang boleh mengganggu proses siasatan. 

“PDRM turut mengingatkan orang ramai tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap pihak-pihak yang memanipulasi isu-isu sensitif terutama melibatkan kegentaran awam dan keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan. 

Dalam perkembangan berasingan, Razarudin berkata, PDRM telah merakam keterangan empat individu bagi membantu siasatan berhubung gerakan ‘Langkah Dubai’ yang dikatakan bertujuan menjatuhkan Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kesemua individu itu ialah Badrul Hisham Shaharin atau Che’Gu Bard, Wan Muhammad Azri (Papagomo), Salim Iskandar dan Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti), Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Ismail Yusop. 



“Mereka telah dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah. 

“Kertas siasatan akan dilengkap dan dirujuk ke pejabat peguam negara selari dengan peruntukan perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Kata beliau, sebanyak 145 laporan polis diterima berkaitan isu ini di seluruh negara setakat ini. –

Sumber – UTUSAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker