Perkasa agenda kepimpinan Wanita

Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (kanan) bersalaman dan bertanya khabar seorang peserta Program Re-Energize Women Leadership Development (WoRLD) Mengarus Perdana Kepimpinan Wanita di Sepang, semalam.

Oleh Rohana Man

SEPANG – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad mahu agenda pemerkasaan kepimpinan wanita dalam sektor korporat, kerajaan mahupun dunia politik digerakkan secara serius dan berstrategik.



Menurutnya, potensi dan bakat wanita mestilah diupayakan semaksimum mungkin agar mampu menjadi seorang pemimpin yang berwibawa, berkarisma dan penuh integriti.

Beliau memberi contoh, walaupun peratusan wanita sebagai ahli lembaga pengarah di negara sudah berada pada tahap 25.8 peratus, namun ia masih belum mencapai sasaran 30 peratus yang diperjuangkan Wanita UMNO selama ini.

“Atas faktor ini, Sekretariat Profesional Wanita UMNO Malaysia menganjurkan Program Re-Energize Women Leadership Development (WoRLD) Mengarus Perdana Kepimpinan Wanita,” katanya pada program berkenaan yang diadakan di Movenpick Hotel and Convention KLIA, Sepang, semalam.

Program tersebut berlangsung selama tiga hari, bermula 23 hingga 25 September 2022.



Noraini berkata, program itu bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat kepimpinan wanita yang ada, tetapi turut mempersiapkan golongan Hawa dalam menghadapi suasana kepimpinan sebenar yang mencabar.

“Tahniah YB Datuk Mastura Yazid, pengerusi sekretariat dan pasukannya yang memastikan kejayaan program hujung minggu ini,” tambahnya.

Sementara itu, Mastura ketika berucap pada program itu berharap dapat melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang bersedia untuk diketengahkan, bukan sahaja sebagai pemimpin politik, malah dalam pelbagai cabang lain pada masa akan datang.

“Hari ini, idea ini menjadi realiti. Saya merasa begitu bangga dengan komitmen kehadiran 120 peserta perwakilan Wanita UMNO yang datang dengan semangat berkobar-kobar, dengan misi dan visi yang lebih fokus iaitu Demi Memperkasa Kepimpinan Wanita UMNO Malaysia,” katanya.



Menurutnya, apa yang perlu wanita renungi adalah tanpa perlu berada dalam kepimpinan tertinggi sekali pun, wanita sebenarnya sudah memberi sumbangan yang penting kepada pembangunan bangsa dan negara, baik dalam aspek ekonomi, kesihatan, sosial mahupun politik.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button