MGRC, Rinani Genotec, UMS meterai LOI

Kerjasama antara MGRC, Rinani Genotec Sdn. Bhd. dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dapat menyemarakkan lagi bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) genetik, ubat regeneratif dan alternatif dalam negara.

 

Oleh Azrin Muhammad



KUALA LUMPUR – Bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) genetik, ubat regeneratif dan alternatif negara disemarakkan lagi dengan kerjasama antara tiga nama besar iaitu MGRC, Rinani Genotec Sdn. Bhd. dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi upacara menandatangani Letter of Intent (LoI).

Menurut Pengerusi MGRC, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min, pihaknya berbesar hati untuk membantu mahasiswa UMS untuk mencapai matlamat R&D agar mempunyai pemahaman lebih baik mengenai bidang pengajian mereka.

“MGRC sentiasa komited menyokong Dasar Bioteknologi Kebangsaan 2.0 yang dilancarkan baru-baru ini yang memberi tumpuan kepada pertanian dan sekuriti makanan; penjagaan kesihatan dan kesejahteraan serta perindustrian dan ekonomi pekeliling.

“Kerjasama ini membolehkan pertukaran sumber penyelidikan dan idea untuk meningkatkan kualiti penyelidikan di UMS termasuk mewujudkan peluang kepada pelajar untuk menjalani tempoh latihan di MGRC atau Genotec,” katanya dalam satu laporan media tempatan, baru-baru ini.



Terdahulu, LoI berkenaan melibatkan Fakulti Sains dan Sumber Asli UMS yang kini sedang giat menjalankan pelbagai kajian dilihat berada atas landasan yang tepat kerana MGRC memiliki makmal penjujukan tinggi, kemudahan mikroarray canggih, dan makmal pemprosesan sel canggih baharu.

Kerjasama itu disempurnakan lagi dengan kehadiran Rinani Genotec Sdn. Bhd. yang mempunyai kepakaran dalam rawatan bioperubatan menggunakan sel stem, sekali gus mengukuhkan aktiviti pengajaran dan penyelidikan program sarjana muda di Fakulti Sains dan Sumber Asli UMS.

Dalam masa sama, UMS juga telah melawat makmal bertauliah Biosafety Level 2 CGMP (Current Good Manufacturing Practice) milik MGRC yang digunakan untuk pengeluaran terapi sel termasuk terapi sel CAR-T untuk pelbagai jenis kanser.

Sementara itu, Dekan Fakulti Sains dan Sumber Asli UMS, Profesor Dr. Jualang Azlan Gansau berkata, penglibatan UMS dengan industri sebenar amat penting dalam memastikan kerelevanan aktiviti penyelidikan dan pengajaran semasa di UMS.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button