Banjir: Sarawak sedia 627 PPS

SERIAN: Sebanyak 627 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu menempatkan lebih 16,000 mangsa banjir disediakan di Sarawak bagi menghadapi monsun timur laut (MTL) yang diramal membawa hujan lebat dan ribut petir antara hujung bulan ini hingga Januari tahun depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata selain itu sebanyak 25 pangkalan hadapan turut disediakan bagi menempatkan bekalan makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Jumlah PPS itu boleh bertambah jika banjir berlaku di kawasan di luar jangka yang tidak termasuk dalam senarai kawasan kerap banjir.

“Semua 627 PPS itu sudah diwartakan dan petugas serta sukarelawan sudah kita sediakan untuk mengendalikannya pada bila-bila masa jika banjir melanda.

“Tetapi kita juga bersedia untuk menghadapi situasi luar jangka seperti banjir yang tiba-tiba berlaku di kawasan yang tidak pernah berlaku bencana itu sebelum ini selain tanah runtuh yang menjejaskan kediaman penduduk dan PPS tambahan itu akan ditentukan oleh Residen serta Pegawai Daerah kawasan yang terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Latih Amal dan Simulasi PPS Bencana Peringkat Negeri Sarawak 2022 di Dewan Serbaguna Ranchan, di sini, hari ini.

Fatimah berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak sudah membuat persediaan sejak beberapa bulan lalu dengan menyimpan bekalan makanan serta keperluan lain seperti tilam, bantai, selimut, lampin pakai buang serta tuala wanita di depo utama serta tiga depo mini dan semua pangkalan hadapan.

“JKM Sarawak juga sudah menyediakan seramai 1,971 kakitangan dan sukarelawan serta 285 kaunselor untuk digerakkan bagi membantu mangsa,” katanya.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan baru-baru ini berkata, seramai 1,590 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak akan bertugas sepanjang tempoh itu dan akan dibantu 9,187 anggota pasukan Bomba Komuniti dan 8,624 anggota Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (CERT).

Sebanyak 310 lokasi hotspot banjir dikenalpasti di seluruh Sarawak dengan 73 daripadanya di Bahagian Sibu, 52 di Sri Aman, 42 di Kuching, 40 masing-masing di Samarahan dan Miri, 32 di Bintulu dan 31 di Limbang.

Selain itu, 97 lokasi dikenal pasti perhubungan jalan raya paling mudah terputus, 42 daripadanya terletak di Sibu manakala 77 lokasi yang terdedah kepada tanah runtuh, dengan Sibu turut mencatatkan lokasi terbanyak iaitu 32 kawasan.

Dari segi logistik, JBPM Sarawak menyediakan 48 bot, 16 lori, 87 kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan sebuah helikopter, manakala polis akan membekalkan 1,663 anggota, 52 lori, 109 kenderaan 4WD, 119 kereta, 35 van, sebuah ambulans dan sebuah bas.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker