Ringgit tak ditambat demi lindungi kedaulatan dasar monetari negara

Dengan kejatuhan ringgit berterusan berbanding dengan nilai dolar Amerika Syarikat (AS), idea untuk menambat ringgit kepada mata wang itu muncul kembali, iaitu dasar pernah Malaysia laksanakan ketika krisis kewangan Asia 1997/98.

Namun, kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) tidak bercadang untuk menambat ringgit pada masa ini kerana langkah itu mempunyai risiko dan penggantian yang besar, seperti kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Persoalan yang timbul, adakah dasar ini sesuai untuk dilaksanakan. Mengapa BNM enggan menambat ringgit walaupun keadaan ekonomi negara menguncup ketika ini.

Pertama sekali, perlu difahami ketika ini, ekonomi Malaysia tidak berada pada keadaan krisis atau mengalami kegawatan. Pada 1997/98, Malaysia bukan sahaja mengalami krisis ekonomi, malah mengharungi kegawatan terburuk dalam sejarah.



Ekonomi Malaysia menguncup sehingga pada kadar 7.4 peratus dan ringgit jatuh pada kadar melebihi RM4.80 berbanding AS$1 pada ketika itu.

Asas ekonomi merudum, mengakibatkan krisis sosial dan politik berlaku pada ketika itu. Mitos ekonomi Malaysia sebagai Harimau Asia dimainkan untuk menimbulkan keyakinan kepada prestasi ekonomi negara.

Faktor luaran dijadikan alasan kepada kegawatan ekonomi tanpa melakukan refleksi jujur kepada kelemahan dalaman struktur ekonomi Malaysia pada ketika itu.

Perlu diingat parut ekonomi akibat menambat ringgit pada 1997/98, yang akhirnya ditamatkan pada 2005 masih lagi ada sehingga ke hari ini.



Hakikat bahawa idea untuk menambat ringgit ini timbul setiap kali ekonomi Malaysia atau pun mata wang ringgit menyusut adalah mimpi ngeri kepada pelabur di negara ini, apatah lagi pelabur yang berfikir-fikir untuk melabur di Malaysia.

Ia tidak baik dari segi pengukuhan sentimen, keyakinan, serta prospek perniagaan dan pelaburan negara. Kalau kita masih ingat pada 2015 dan 2016, ada cadangan menambat ringgit kerana kejatuhan nilainya pada ketika itu.

Begitu juga dengan kejatuhan harga minyak dunia, apatah lagi dengan propaganda politik kononnya ekonomi Malaysia sudah berada di ambang muflis pada 2016.

Namun, kerajaan pada ketika itu membuat keputusan bijak tidak menambat ringgit dan memfokus kepada agenda transformasi ekonomi melalui Dasar Transformasi Nasional (DTN) yang menyeluruh dan pelbagai dimensi.

Akhirnya, ringgit mengukuh kembali pada awal 2018. Menurut Bank Dunia pada ketika itu, ekonomi Malaysia berada pada landasan betul untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Perancangan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) juga berada pada fasa memberangsangkan. Kemasukan pelabur asing, projek infrastruktur moden dan sistem percukaian cekap serta efisien dengan visi serta hala tuju ekonomi jelas mengukuhkan nilai ringgit dan asas ekonomi negara.

Ekonomi makro, ekonomi rakyat, kadar kemiskinan, serta kesenjangan dalam agihan pendapatan dan pembangunan wilayah dapat dikurangkan pada 2017.

Perlu diakui, DTN berjaya mengeluarkan ekonomi Malaysia daripada krisis kewangan global 2008/09 dan ekonomi Malaysia tidak pernah mengalami apa-apa bentuk krisis ekonomi sepanjang ia dilaksanakan.

Pandemik ubah keadaan ekonomi

Namun, segala berubah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan diburukkan lagi akibat hambatan pandemik COVID-19 kepada ekonomi kita.

Sebelum pandemik pun, iaitu pada 2019, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan pada kadar terburuk sejak 2009. Pada 2020, ekonomi negara menguncup pada kadar 5.4 peratus dan pengangguran melebihi 5.0 peratus.

Dua tahun sudah berlalu, hari ini, kita sudah dapat lihat tanda ekonomi Malaysia semakin memulih. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua tahun ini direkodkan pada kadar 8.9 peratus, tertinggi di rantau ini. Adakah ini tanda ekonomi negara menghadapi krisis? Jawapannya adalah tidak.

Data kadar pengangguran terkini juga berada pada 3.7 peratus, iaitu pada tahap Guna Tenaga Penuh (GTP), iaitu pengangguran berlaku ini bukan lagi akibat kejatuhan permintaan agregat, namun lebih kepada faktor geseran (frictional) dan juga struktur.

Adakah prestasi ekonomi menunjukkan kadar pengangguran berada pada tahap GTP ini berada pada kemelesetan ekonomi? Sememangnya tidak.

Begitu juga kadar inflasi terkini direkodkan pada 4.4 peratus. Ini bukanlah tahap inflasi negara yang sampai tahap muflis seperti Sri Lanka yang mana kadar inflasinya sudah mencecah lebih 70 peratus.

Tidak dinafikan, kita mempunyai isu ekonomi perlu ditangani pada ketika ini, seperti kenaikan kos sara hidup, pendapatan rakyat semakin terhakis dan kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar AS. Namun, ini bukan suatu keadaan ekonomi boleh dikategorikan sebagai kemelesetan ekonomi.

Maka, jika ekonomi kita tidak mengalami kemelesetan ekonomi, apatah lagi berada pada situasi ekonomi terburuk seperti berlaku pada 1997/98, kenapa ringgit perlu ditambat seperti dicadangkan pihak tertentu.

Dalam mana ekonomi kita berada pada momentum yang baik untuk memulih, menambat ringgit menjejaskan momentum ini pada masa hadapan.

Penambatan ringgit akan menyebabkan negara kehilangan kedaulatan monetari penting untuk mengurus dasar monetari kita secara bebas berpandukan kepada konteks dan situasi ekonomi kita sendiri, bukannya keadaan ekonomi negara yang menjadi sandaran kepada tambatan ringgit, misalnya AS.

Bayangkan baru-baru ini Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas lalu BNM juga menaikkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas atau lebih tinggi daripada 25 mata asas jika kita menambat ringgit? Ini akan memeritkan lagi kesengsaraan dihadapi rakyat ketika ini.

Kesimpulannya, tidak menambat ringgit kepada dolar AS tidak bermakna BNM ataupun kerajaan tidak melakukan apa-apa tindakan mengawal ringgit.

Tidak menambat ringgit dan membiarkan kuasa pasaran menentukan nilai wajar ringgit itu sendiri adalah satu tindakan baik kerana ringgit merudum pada ketika ini disebabkan tindakan agresif Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah.

Ini bukannya akibat masalah struktur ataupun spekulasi mata wang berlaku pada 1997/98 dahulu. Dasar fiskal negara juga memainkan peranan untuk mengukuhkan nilai ringgit.

Memperkenalkan strategi baik berbentuk propelaburan dalam Bajet 2023 juga akan mengukuhkan nilai ringgit pada masa hadapan.

Akhirnya, perlu diingat pergerakan nilai ringgit ini juga dipengaruhi faktor bukan ekonomi seperti kestabilan politik, sosial, serta aspek keyakinan dan sentimen kepada ekonomi, pasaran dan kerajaan memerintah secara keseluruhannya.

Justeru, keputusan BNM tidak menambat ringgit kepada dolar AS pada masa ini wajar tanpa menjejaskan ekonomi dan keutuhan monetari negara.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker