‘Tiada siapa tahu’ – Komen ringkas Shafee

Oleh – Syeikh Baran


'Tiada siapa tahu' - Komen ringkas Shafee
Shafie (kiri) memaklumkan tiada siapa pun dimaklumkan mengenai mesyuarat Lembaga Pengampunan yang termasuk sama ada pengampunan Najib akan dibincangkan.

Pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak belum mendapat apa-apa maklumat mengenai mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dikatakan akan diadakan hari ini.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, tiada siapa pun dimaklumkan mengenai mesyuarat berkenaan.



“Tidak, tiada siapa yang tahu,” katanya ringkas ketika ditanya sama ada beliau mengetahui mengenai pertemuan terbabit.

Hari ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan Lembaga Pengampunan mengadakan mesyuarat yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dengan antara agenda mesyuarat terbabit adalah mengenai hukuman penjara yang dihadapi Najib.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dipetik berkata mesyuarat berkenaan akan menjadi mesyuarat rasmi terakhir bagi Sultan Abdullah sebelum pemerintahan baginda berakhir pada Selasa dan baginda kembali sebagai Sultan Pahang.

“Setakat hari ini (semalam) saya dimaklumkan mesyuarat akan berlangsung (hari ini), tetapi tidak pasti sama ada ia ditangguhkan lagi, memandangkan sudah beberapa kali mesyuarat terbabit ditangguhkan.



“Apa boleh saya sahkan ialah mesyuarat Lembaga Pengampunan akan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Desas-desus mengenai pengampunan Najib dibincangkan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Pada 10 Januari lalu, Shafee menafikan dakwaan sebuah portal berita bahawa Lembaga Pengampunan akan memutuskan permohonannya untuk pengampunan diraja pada akhir bulan ini.

Beliau berkata, mereka tidak menerima sebarang kemas kini mengenai permohonan mereka setakat Disember tahun lalu.



Pada 24 Januari lalu, menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata tiada perbincangan mengenai perkara berkaitan Lembaga Pengampunan dalam mesyuarat Kabinet pada minggu sebelumnya.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button