Wanita warga emas cedera dipukul cucu jiran

Oleh – Syeikh Baran


Wanita warga emas cedera dipukul cucu jiran
Foto Hiasan

Gara-gara menegur cucu jirannya yang membakar sampah secara terbuka di kawasan tanah miliknya di Tanjung Kling di sini, seorang wanita warga emas cedera apabila mukanya ditumbuk, selain dipukul pada belakang kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian jam 1.20 tengah hari semalam, mangsa, 76, dikatakan berjumpa pemilik inap desa untuk menegur perbuatan cucu lelakinya berusia 26 tahun yang membakar sampah dalam kawasan tanah miliknya.



“Mangsa menegur tindakan lelaki itu membakar sampah secara terbuka dalam kawasan tanahnya sehingga menyebabkannya sesak nafas kerana menghidu asap yang banyak.

“Bagaimanapun berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dengan suspek sebelum pemuda berkenaan meluru ke arah mangsa dan menumbuk bahagian mukanya beberapa kali,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa cuba melarikan diri, namun suspek sekali lagi memukul bahagian belakang warga emas itu sehingga mangsa terjatuh.

Suspek turut mengugut mahu memukul mangsa dengan kayu sebelum wanita itu berlari masuk ke dalam rumah.



Selepas kejadian itu mangsa membuat laporan polis.

Christopher berkata, mangsa mengalami kecederaan tisu lembut serta sakit pada belakang kepala dan badan, muka serta leher.

Polis menahan suspek jam 12.10 tengah malam tadi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Satu rakaman video berdurasi 29 saat turut tular di media sosial hari ini. – BERNAMA



Sumber – BERITA HARIAN


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading