Uniten anjur Persidangan Teknologi Grid Pintar

(Projek Grid Pintar menyokong komitmen Malaysia untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 45 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2030)

Oleh Azrin Muhammad

AYER KEROH – Universiti Tenaga Nasional (Uniten) berganding bahu dengan Malaysian-Industry Government Group for High Technology (MIGHT), Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) dan TNB Research Sdn. Bhd. menganjurkan Persidangan Teknologi Grid Pintar Melaka 2022, semalam.



Menurut Exco Pendidikan, Teknologi dan Komunikasi Melaka, Datuk Rais Yasin, Melaka amat bertuah kerana terpilih sebagai salah satu antara 28 bandar di 11 buah negara untuk dilengkapi sistem grid pintar di bawah Program Pembangunan Bandar Mampan dengan fokus Grid Pintar Ke Arah Negeri Pintar 2035.

“Projek ini dibiayai sepenuhnya oleh Global Environment Facility (GEF) dan satu-satunya projek grid pintar yang dibangunkan di rantau Asia seiring dengan strategi dan inisiatif kerajaan negeri dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

“Integrasi dalam talian yang diusahakan menerusi Projek Grid Pintar ini berjaya mengurangkan pelepasan 19,000 tan karbon dioksida setara (tCO2eq), bersamaan dengan penanaman kira-kira 287,000 pokok dalam tempoh 10 tahun,” katanya selepas merasmikan Persidangan Teknologi Grid Pintar Melaka 2022 di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Bersama (Industri) MIGHT, Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali, Ketua Pegawai Eksekutif PTHM, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah dan Pengurus Projek dan Pegawai Pembangunan Industri Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDO), Katarina Barunica.



Dalam masa sama, Rais turut memberitahu, projek berkenaan melibatkan integrasi dalam talian bagi teknologi tenaga lestari sedia ada di Melaka membabitkan 20 MegaWatt (MW) ladang solar; 30 KiloWatt (KW) panel solar bumbung; 4,000 liter solar thermal; 50 unit bangunan komersial dan industri; tiga unit pengesan elektrik; satu unit sistem bateri dan 40 unit meter pintar dari rumah kediaman.

“Secara tidak langsung Projek Grid Pintar ini turut menyokong komitmen Malaysia untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 45 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2030 dan aspirasi untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih (net-zero emissions) menjelang tahun 2050,” katanya.

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button