Tempat terhad, persaingan sengit punca pelajar gagal ke universiti awam

(Lebih 20,000 pelajar yang gagal dalam permohonan kemasukan ke Universiti Awam bagi sesi kemasukan Oktober ini boleh membuat rayuan sehingga 4 Oktober 2022. – GAMBAR HIASAN)

Oleh Rohana Man

PUTRAJAYA – Kekecohan yang berlaku di laman sosial yang dibangkitkan netizen yang tidak berpuas hati berikutan gagal ke Universiti Awam (UA) bagi kemasukan semester Oktober ini, walaupun mendapat keputusan cemerlang dan cukup syarat mendapat perhatian Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).



Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Datuk Profesor Dr. Husaini Omar berkata, kapasiti UA yang terhad dan persaingan sengit menyebabkan lebih 20,000 permohonan tidak mendapat tempat walaupun mereka layak melepasi syarat am.

Menurutnya, faktor tempat terhad bagi program pengajian tertentu terutama dalam tiga program utama iaitu perubatan, perakaunan dan undang-undang menyebabkan ramai pemohon yang layak gagal mendapat tempat di 20 buah UA seluruh negara.

“Pada tahun ini, keseluruhan permohonan menerusi UPUOnline yang diterima adalah sebanyak 115,477 calon untuk memasuki universiti awam yang mana seramai 90,745 calon melepasi syarat am,“ katanya pada sidang media khas mengenai UPUOnline, di sini, hari ini.

Bagi semester Oktober ini, hanya 71,615 tempat ditawarkan dan daripada jumlah itu, sebanyak 23,032 adalah pelajar B40, 124 calon tawaran laluan khas Orang Kurang Upaya (OKU), 86 tempat untuk masyarakat Orang Asli dan 32 atlet.



Husaini berkata, sebagai contoh sebanyak 1,841 calon layak memohon program perubatan di UA, tetapi hanya 692 tempat yang ditawarkan.

“Begitu juga dengan program perakaunan yang mana, hanya 1,502 tempat diberikan dengan jumlah permohonan layak 5,048.

“Bagi program undang-undang pula, pihak UPU menerima 1,660 permohonan dan hanya 541 pelajar diberikan tempat,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, ada juga pelajar yang tidak memenuhi syarat khas yang ditetapkan universiti pilihan atau kursus dipohon, gagal dalam sesi temuduga bagi kursus tertentu, selain kedudukan merit rendah.



Malah katanya, ada antara pelajar tidak mengisi sepenuhnya 12 pilihan yang disediakan dalam borang Unit Pusat Universiti (UPU) menyebabkan mereka gagal mendapat tempat di universiti jika tidak terpilih mengikuti kursus utama yang dipohon.

“Tempat di universiti awam adalah terhad, manakala persaingan untuk mendapatkan tempat terlalu tinggi.

“Ini sesuatu yang baik kerana menunjukkan bakat-bakat yang memohon untuk memasuki universiti awam adalah yang terbaik, seterusnya membolehkan graduan yang dihasilkan kelak terbaik,” tambahnya.

Husaini juga berkata, bagi program kompetitif dan menerima banyak permohonan, peluang untuk mendapat tempat adalah tipis.



“Begitu juga jika merit rendah dan memohon program kompetitif, pemohon juga sukar untuk mendapat tempat,”tambahnya.

Ketika ini, KPT menyenaraikan 10 kursus sebagai pengajian kompetitif iaitu Perubatan, Pergigian, Farmasi, Perakaunan, Undang-undang, Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Elektrikal, Kejuruteraan Elektronik, Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Awam.

Sementara itu, semua permohonan yang tidak berjaya diberikan tempoh untuk membuat rayuan selama sembilan hari, mulai 25 September lalu.

“Tarikh tutup rayuan adalah pada 4 Oktober ini dan mana-mana pelajar yang tidak mendapat tempat boleh merayu supaya rayuan boleh diproses dan memenuhi tempat sekiranya ada kekosongan,” ujarnya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button