PASKAL dilengkapi persenjataan bertaraf dunia

LUMUT: Pasukan Khas Laut (PASKAL) akan terus dilengkapkan dengan peralatan persenjataan berteknologi terkini dalam hala tuju setaraf dengan pasukan khas dunia.

Panglima PASKAL, Datuk Mohd Redzuan Talib, berkata susulan itu peningkatan akan terus dilakukan membabitkan semua aspek teknologi peralatan, pertahanan dan latihan ketenteraan pasukan khas itu.

“Berbanding penubuhan asalnya, revolusi PASKAL yang ada sekarang mempunyai peralatan berteknologi tinggi dan setaraf dengan mana-mana pasukan khas di dunia ini.



“Sekarang boleh saya katakan PASKAL sudah lengkap dan keupayaan fizikal dan peralatannya, cuma apa yang ingin difokuskan pembangunan pemikiran supaya mereka lebih ke hadapan untuk lebih maju,” katanya selepas sambutan Hari Ulang Tahun PASKAL Ke-40 di KD Panglima Garang, Pangkalan TLDM Lumut di sini, hari ini.

Hadir sama, Panglima Tentera Laut, Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Sri Muez Abd Aziz.

Mohd Redzuan berkata, PASKAL sentiasa menjadikan pasukan khas Tentera Laut Australia dan Amerika Syarikat (AS) sebagai rujukan.

“Kita masih mempunyai latihan berterusan dengan pasukan Tentera Laut Australia dan AS, malah mereka juga datang berlatih di sini.



“Dalam latihan itu juga, kita bertukar pandangan dan teknologi, malah ada juga sebahagian daripada peralatan dikongsi dan disumbangkan oleh negara berkenaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, hanya 16 orang daripada seramai 280 anggota yang menjalani latihan PASKAL terpilih memasuki pasukan itu.

“Ini membuktikan kami lebih mementingkan kualiti dan bukan kuantiti,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button