Chef’ air ketum direman
Kuala Lumpur: Polis menahan seorang lelaki yang juga ‘chef’ air ketum dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Setapak, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, serbuan kira-kira jam 8.30 malam itu dijalankan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju hasil aduan awam.
Menurutnya, hasil serbuan polis menahan lelaki berusia 30-an serbuan itu yang berperanan sebagai tukang masak dan penjual air ketum.
“Polis merampas 37 botol air ketum, 780 bungkusan plastik mengandungi daun ketum dan lima botol cecair disyaki berisi ubat batuk.
“Turut dirampas adalah peralatan memproses air ketum antaranya dua periuk besar, periuk kecil, tong gas,
set peralatan dapur gas, alat penimbang dan alat penapis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ashari berkata, siasatan mendapati suspek dipercayai aktif dalam pemprosesan dan pengedaran air ketum sejak awal Mei lalu.
“Suspek kini direman selama empat hari sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“Kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dimajukan ke pejabat timbalan pendakwa raya untuk arahan lanjut,” katanya.
METRO