Cik Noriah tanam semula hutan dengan ratusan pokok seluruh negara
KUALA LUMPUR – Wanita hutan. Itu gelaran yang dapat menggambarkan kehebatan dimiliki oleh Cik Noriah Cik Wil, 48 tahun, apabila ‘menghidupkan’ semula hutan dengan menyemai dan menanam pelbagai spesies pokok.
Sehingga kini, beliau sudah menghasilkan ratusan ribu pokok yang ditanam di kawasan hutan seluruh negara, malah bakal memiliki rumah impiannya yang dibina menggunakan sebatang pokok hutan ditanam sendiri kira-kira 33 tahun lalu.
Bermula dengan menyemai benih dan anak pokok, pemilik Nurseri KA Kajang di Tanah Merah, Kelantan itu turut memandu lori untuk menghantar tanaman berkenaan sehingga kadangkala meredah hutan bagi menanamnya.
Biarpun aktiviti itu dianggap sukar serta tidak dilakukan golongan wanita namun minat mendalam membuatkan dia sanggup mengerah keringat untuk melakukannya.
Mengimbau permulaan bidang pertanian dalam kehidupan Cik Noriah yang mesra disapa Kak Ni berkata, seawal usia sembilan tahun sudah membantu bapanya menyemai benih pokok balak.
“Saya pernah mengikut arwah ayah mencari anak pokok di dalam hutan, menyemai sehingga besar dan menanamnya semula. Selain balak, kami juga menghasilkan anak pokok rotan, jati dan merawan siput jantan.
“Semasa berusia 20 tahun, arwah ayah menerima permintaan daripada kerajaan Pahang untuk memulihkan kawasan hutan yang ditebang secara haram.
“Pada ketika itu sukar untuk mendapatkan perkhidmatan pengangkutan lori di Kelantan menyebabkan saya terpaksa mengambil lesen memandu dan membeli sebuah lori untuk menghantar ribuan anak pokok ke negeri itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Sejak itu, katanya, dia bergiat aktif dan mengambil alih perniagaan nurseri selepas bapanya meninggal dunia kira-kira 27 tahun lalu.
Cik Noriah berkata, selain menanam sendiri dia juga menerima banyak permintaan termasuk daripada Jabatan Perhutanan di Kelantan, Terengganu dan Kedah untuk menghantar anak pokok ke kawasan hutan di negeri berkenaan.
Katanya, dia pernah menerima tempahan sehingga mencecah 30,000 anak pokok hutan sehingga terpaksa mendapatkan bantuan rakan lain untuk menghantarnya kerana kekangan pengangkutan dan masa.
Sebagai wanita, Cik Noriah mengakui pernah berdepan cabaran dan dipandang rendah tetapi ia tidak mematahkan semangat sebaliknya berpegang kepada prinsip ikhlas serta jujur dalam melakukan kerja selain konsisten.
“Alhamdulillah, keluarga banyak memberi dorongan dan sokongan. Kini anak ketiga berusia 17 tahun menunjukkan minat sama dan sering membantu saya di nurseri.
“Dia juga beritahu mahu menyambung pengajian dalam jurusan pertanian,” katanya.
Ditanya mengenai keadaan hutan negara ketika ini, Cik Noriah berpandangan ia amat menyedihkan kerana banyak spesies pokok hutan hampir pupus disebabkan oleh aktiviti pembalakan yang kemungkinan dilakukan secara haram.
Cik Noriah berharap kerajaan mengambil tindakan secara serius demi memelihara ekosistem negara.
© Harian Metro