Jangan salahkan peniaga Muda Mudi Weekend Festival

Alor Setar: Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Malaysia (GAPEMA) Kedah meminta peniaga yang berniaga ketika penganjuran acara kontroversi di Dataran Balai Seni Negeri kelmarin tidak turut dipersalahkan.

Yang Dipertua GAPEMA Kedah, Baharudin Mohamed Ali, berkata kira-kira 20 peniaga beroperasi sepanjang Muda Mudi Weekend Festival berlangsung.

“Kita mendapat aduan daripada peniaga bahawa mereka bimbang terkena tempias akibat acara itu sehingga menjejaskan perniagaan mereka untuk menyertai program lain selepas ini.



“Jangan salahkan peniaga yang berniaga di situ. Penganjur yang bertanggungjawab bagi acara yang berjalan. Penjaja dan peniaga kecil hanya menyewa tapak bagi memeriahkan sesuatu acara yang dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, video mengenai acara itu tular di media sosial, memaparkan aksi penonton melompat dan menari ketika persembahan muzik dianjurkan.

Acara itu mengundang rasa kurang senang orang ramai, khususnya penduduk beragama Islam memandangkan ia diadakan tidak jauh dari Masjid Zahir.

Mengulas lanjut, Baharudin berkata, kebanyakan peniaga baru hendak ‘bernafas’ selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.



Katanya, GAPEMA menyambut baik setiap program jualan yang mahu diadakan selain menggalakkan kehadiran orang ramai.

“Kami harap, selepas ini boleh bekerjasama membantu penganjur memantau aktiviti kurang sopan yang dilakukan pengunjung supaya tidak berulang seperti kejadian malam kelmarin.

“Kami sedia bekerjasama dengan penganjur selepas ini agar perkara berkaitan penjaja dapat ditangani segera,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button