‘United tak hormati Ronaldo’
MANCHESTER: Legenda Manchester United, Roy Keane menegaskan pasukan itu seharusnya menjual Cristiano Ronaldo pada musim panas ini.
Keane menegaskan Erik Ten Hag tidak menghormati Ronaldo selepas sering meletakkan penyerang itu di bangku simpanan khususnya ketika mereka dibelasah 3-6 di tangan Manchester City semalam.
Ronaldo adalah antara pemain simpanan United ketika kunjungan di Etihad namun dia sekadar menjadi penonton.
Selepas perlawanan, Ten Hag menjelaskan dia tidak menurunkan bintang berusia 37 tahun itu kerana ‘menghormati kariernya yang besar’ namun tidak menerangkannya lebih lanjut.
Keane menyelar layanan Ten Hag terhadap Ronaldo yang menjadi satu daripada empat pemain simpanan yang tidak digunakan termasuk penjaga gol, Tom Heaton.
“Saya berpendapat United tidak menghormati Ronaldo dan sepatutnya dia dilepaskan sebelum jendela perpindahan lalu berakhir.
“Saya tahu kamu adalah pengurus, kamu perlukan pilihan tetapi kamu tidak seharusnya biarkan Ronaldo di bangku simpanan.
“Dia adalah salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman. Dia beraksi dalam satu ataupun dua perlawanan Eropah.
“Keadaan akan menjadi lebih buruk apabila dia lebih banyak berada di bangku simpanan. United jelas tidak menghormati Ronaldo.
“Mereka sepatutnya melepaskan Ronaldo ketika berpeluang melakukannya. Saya tahu dia (Ronaldo) pun ada pilihan.
“Tetapi untuk meletakkan Ronaldo di bangku simpanan, ia satu tindakan yang mengarut,” kata legenda itu.
AGENSI