Penganggur digantung, bunuh abang ipar cuba rogol adiknya

AHLI keluarga tertuduh yang menunggu di pekarangan Mahkamah Tinggi tidak dapat menahan sebak apabila permintaan mereka untuk memeluk tertuduh ditolak polis bertugas.

 

SEORANG penganggur dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Sabah, selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh abang iparnya, empat tahun lalu.

Hakim Dr Alwi Abdul Wahab menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Aldin Tawasil, 26, selepas pihak pembelaan gagal mengemukakan keraguan munasabah sepanjang prosiding berlangsung.

Alwi dalam penghakimannya berkata, tertuduh dalam keterangannya memaklumkan telah menikam mangsa kerana berang selepas mengetahui adik perempuannya dirogol oleh mangsa.



“Walaupun dalam keterangan tertuduh mengemukakan bukti tindakannya untuk mempertahankan diri, namun tertuduh tidak mengalami sebarang kecederaan berbanding simati dengan 13 kesan tikaman.

“Malah, tertuduh juga bertindak mengejar dan menikam mangsa yang cuba lari menyelamatkan diri dan ini menunjukkan tertuduh mempunyai niat untuk membunuh.

“Mengambil kira keterangan menyeluruh dalam kes ini, mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap tertuduh,” kata Hakim.

Tertuduh, Aldin, berpakaian serba putih kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan terhadapnya.



Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Ali Imran manakala tertuduh diwakili oleh peguam bela, Liew Hon Min.

Mengikut kertas pertuduhan, Aldin yang juga pendatang asing tanpa izin (Pati) didakwa membunuh abang iparnya Ronston Tunai, di Kampung Sabah Baru, Jalan Tengah Nipah, Lahad Datu, kira-kira jam 3 petang pada 16 Jun 2017.

Sementara itu, ibu dan ahli keluarga tertuduh menunggu di luar mahkamah tidak dapat menahan emosi apabila permintaan mereka untuk memeluk dan mencium tertuduh buat kali terakhir tidak dibenarkan anggota polis bertugas.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker