Dollah tak rela hilang mata lagi

Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Datuk Dollah Salleh akan memastikan keputusan positif mampu diperolehi apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jumaat ini.

Katanya, ini kerana berdasarkan rekod perlawanan di Stadium Darul Makmur musim ini, beberapa perlawanan tidak berpihak kepada skuad Tok Gajah.

“Apabila beraksi di tempat sendiri memang susah untuk kita menang dan diharapkan baki tiga perlawanan akan menjadi milik Sri Pahang.



“Oleh itu, baki tiga perlawanan di halaman sendiri iaitu berdepan JDT Jumaat ini, diikuti Sabah FC (11 Oktober) dan Negeri Sembilan FC (NSFC) (15 Oktober) perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Bagi saya, Sri Pahang tidak boleh kehilangan mata untuk meletakkan kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super musim ini.

“Kedudukan itu penting untuk kempen saingan Piala Malaysia nanti kerana ketika ini kami berada di tempat ketujuh liga,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

Pada dua perlawanan terakhir di Stadium Darul Makmur, Sri Pahang tewas di tangan Terengganu FC (TFC) 1-2 dan Kuala Lumpur City FC (0-2).



Selepas mengharungi 19 perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan ketujuh liga dengan mengutip 24 mata.

Justeru, beliau mahu anak buahnya dapat beraksi dengan cemerlang kerana masih lagi berpeluang untuk menamatkan saingan liga di kedudukan kelima atau keenam.

“Kami boleh memintas Kuala Lumpur City dan Kedah Darul Aman (KDA), masing-masing berada di kedudukan kelima dan keenam jika dapat menambah sebanyak mata.

“Oleh itu, tiga perlawanan di halaman sendiri tidak boleh dipersia-siakan,” katanya.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button