Muzakkir buru podium di Sepang
KUALA LUMPUR: Keserasian bersama jentera baharu Honda dalam saingan AP250 pada kempen Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2022 meyakinkan pelumba ONEXOX TKKR Racing Team, Muzakkir Mohamed untuk memburu pentas podium di halaman sendiri, hujung minggu ini.
Muzakkir berkata, dia mempunyai keyakinan mendalam untuk menjejakkan kaki di pentas podium di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang menjadi venue bagi Pusingan 4 musim ini.
“Semua tahu yang kelas AP250 ini boleh dikatakan seperti kelas pertengahan di peringkat Asia,” katanya yang beraksi dalam kelas paling sukar ‘dijinakkan’ oleh pelumba negara di peringkat Asia.
“Susahnya itu apabila pasukan Malaysia bersaing dalam kelas ini adalah kerana kami bersaing dengan (pasukan) pengeluar di mana pasukan Malaysia, pengeluar tak banyak bersaing di AP250.
“Namun, kami akan buat sehabis baik dan sudah tentu saya impikan podium di laman sendiri. Saya pun sudah lama tak menjejakkan kaki di podium dan saya rasa ini adalah tempatnya (menaiki podium) dan buat sehabis baik.”
Muzakkir pada ketika ini sudah mengumpul 25 mata untuk berada di tangga ke-15 dalam carta keseluruhan yang sedang didahului pelumba Motul Sniper Manual Tech Racing Team, Andy Muhammad Fadlly dari Indonesia.
Andy pada ketika ini sedang mendahului dengan 101 mata manakala rakan senegara, Rheza Danica Ahrens (ASTRA HONDA Racing Team) berada di kedudukan kedua, 79 mata dan Rafid Topan Sucipto juga dari Indonesia, di kedudukan ketiga, 65 mata.
“Untuk keseluruhan, memang agak ke belakang sedikit sebab pada pusingan pertama, saya tak berlumba sebab positif COVID-19. Jadi saya terlepas dua perlumbaan. Pada Pusingan 2 baru saya bermula.
“Selain itu, motosikal pada tahun ini juga baharu dan jentera kami bermula dari ‘kosong’ tanpa pakej perlumbaan. Jadi agak sukar juga untuk mengumpulkan data dan pelarasan jentera.
“Sasaran kami adalah untuk melakukan yang terbaik pada tahun depan tetapi pada Pusingan 4 ini (di Sepang), kami sudah bersedia,” katanya.
METRO