Sorok syabu bawah katil
Kota Bharu: Polis Kelantan menahan dua lelaki dipercayai memiliki dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM236,000 dalam dua serbuan berbeza di Tanah Merah, Selasa lalu
Nilai berkenaan membabitkan 435 gram (g) heroin berjumlah RM200,000 dan satu kilogram (kg) syabu bernilai RM36,000.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata dalam serbuan pertama anggota bertugas menahan seorang lelaki berusia 22 tahun di tepi Jalan Kampung Cherang Lali, Tanah Merah sekitar jam 4 petang.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas suspek, menemui 10 botol yang dibungkus menggunakan surat khabar yang mana setiap botol berisi serbuk keputihan dipercayai dadah jenis heroin.
“Suspek yang juga seorang penganggur kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk siasatan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah.
“Semakan mendapati suspek tiada rekod lampau, namun dia ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.
“Hasil tangkapan ini, anggota kemudian membuat serbuan susulan di sebuah rumah di Kampung Kusian Baru, Tanah Merah, jam 9.49 malam, hari yang sama, dan menahan seorang lelaki berusia 40 tahun,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK), di sini, hari ini.
Muhamad Zaki berkata, sebanyak sekilogram syabu ditemui di dalam beg plastik yang disorokkan di bawah katil disyaki milik suspek yang juga seorang penganggur.
“Berdasarkan semakan suspek memiliki lapan rekod lampau membabitkan penyalah gunaan dadah dan hasil ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis Methampethamine.
“Kedua-dua suspek ini ditahan selama seminggu bermula 5 hingga 11 Oktober untuk tindakan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki berkongsi kejayaan Operasi Tapis Bersepadu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan yang dijalankan selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Oktober.
Pelbagai jenis dadah bernilai RM37,062.50 dirampas yang boleh digunakan seramai 3,775 orang penagih dadah.
METRO