City gah mara ke separuh akhir UCL

Munich, Jerman: Manchester City akan berdepan Real Madrid di separuh akhir Liga Juara-Juara untuk musim kedua berturut-turut selepas jaringan Erling Haaland menyaksikan mereka melakarkan keputusan seri 1-1 sekali gus mengesahkan kemenangan dengan agregat 4-1 ke atas Bayern Munich.

Pemain Norway itu gagal menyempurnakan penalti pada separuh masa pertama menebus kegagalan itu dengan meledak pada pertengahan babak kedua seterusnya menewaskan penjaga gol Bayern, Yann Sommer untuk gol ke-48 dalam 41 penampilan musim ini.

Bayern menjaringkan penalti lewat perlawanan menerusi Joshua Kimmich tetapi sekali lagi dihantui oleh ketidakupayaan mereka untuk menguasai perlawanan selain hanya melakukan beberapa siri serangan.

City akan beraksi di separuh akhir buat tahun ketiga berturut-turut tetapi berdepan perlawanan ulangan dengan musuh lama Pep Guardiola, Real, yang menjaringkan dua gol lewat perlawanan untuk membawa mereka meneruskan perjuangan mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.

“Separuh akhir sekali lagi… pengalaman yang kami ada dalam pertandingan ini, pemain-pemain mahu melakukannya dengan lebih baik,” kata Guardiola.

Bayern memecat pengendali sebelum ini, Julian Nagelsmann dan melantik Thomas Tuchel walaupun mempunyai rekod sempurna dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini, tetapi kini tersingkir daripada saingan Eropah serta Piala Jerman.

Guardiola, yang sering dikritik dalam saingan Liga Juara-Juara kerana suka melakukan eksperimen ke atas skuadnya, kali ini menurunkan kesebelasan utama sama yang menang 3-0 pada aksi suku akhir pertama di Manchester.

Pemenang antara City dan Real akan berdepan sama AC Milan atau Inter Milan di final yang akan berlangsung di Istanbul pada 10 Jun.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker