Agong wajar berasa kecewa dek kerana politik negara
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah buat keputusan secara bijaksana dengan memberi perkenan permintaan Perdana Menteri untuk memulangkan kembali mandat kepada rakyat menerusi pilihan raya kali ke-15.
Tidak saja Tuanku yang kecewa dengan politik tanah air sejak Barisan Nasional (BN) jatuh pada PRU14 pada 9 Mei 2018, rakyat juga turut kecewa dan menderita dengan situasi politik tidak menentu sepanjang tempoh empat tahun lima bulan ini.
Bermula 10 Mei 2019 PH mengambil alih kerajaan Persekutuan, kemudian 23 Februari 2020 tidak semena-mena kerajaan PH jatuh selepas Perdana Menterinya, Tun Dr. Mahathir meletak jawatan.
Bukan sahaja disebabkan Perdana Menteri ketujuh itu meletakkan jawatan, rakan gabungan PH iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut mengumumkan keluar dari pakatan itu dan diikuti Timbalan Presiden PKR ketika itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipecat dari partinya.
Ahli Parlimen Gombak itu bersama beberapa Ahli Parlimen PKR, dengan kerjasama Bersatu, Pas serta BN membentuk Perikatan Nasional (PN) 1.0.
Namun, Yang di-Pertuan Agong perkenan melantik Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri interim, sementara menunggu pembentukan gabungan parti yang mempunyai lebih sokongan untuk disahkan sebagai kerajaan.
Akhirnya, selepas enam hari Tun Dr. Mahathir sebagai PM interim, manakala PN 1.0 telah mendapat sokongan melebihi daripada PH, maka baginda perkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.
Maka, terbentuklah kerajaan PN 1.0 bermula 1 Mac 2020, iaitu serentak pula dengan negara dilanda pandemik Covid-19.
Pentadbiran kerajaan PN 1.0 tidak dapat melangkau jauh kerana dikekang Covid-19 yang semakin menular sehingga terpaksa dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Dari situ, Muhyiddin menggunakan wang negara yang dikumpul oleh kerajaan BN selama ini untuk meringankan beban rakyat, namun usaha itu tidak menemui jalan penyelesaian.
Dari Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion sehinggalah kepada PRIHATIN PKS+, PENJANA dan KITA PRIHATIN yang keseluruhannya berjumlah RM305 bilion telah dibelanjakan.
Namun, kehidupan rakyat masih terhimpit. Jutaan rakyat Malaysia hilang pekerjaan, hilang mata pencarian, hilang sumber pendapatan kerana semua industri tidak dapat beroperasi dan rakyat pula dikurung dalam rumah.
Keadaan Covid-19 tidak berubah walaupun hampir setahun berlalu sehingga Muhyiddin mengadap Tuanku Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan nasihat Jemaah Menteri agar Seri Paduka Baginda mengeluarkan Proklamasi Darurat menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan untuk mengisytiharkan Darurat bagi seluruh Persekutuan berkuatkuasa mulai 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021 untuk ampun perkenan Seri Paduka Baginda.
Kelemahan pentadbiran Muhyiddin nampak menyerlah apabila negara diumumkan darurat, tetapi kes positif dan kes meninggal dunia akibat Covid-19 semakin meningkat.
Timbul tanda tanya, apabila darurat dilaksanakan, rakyat tidak dapat keluar rumah, tidak dapat merentas negeri dan negara, tetapi dua kes itu (positif dan kematian) semakin meningkat.
Kemaslahatan ini mendorong rakyat, termasuk ahli politik meragui kewibawaan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Pada 20 Ogos 2021, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan untuk menerajui kerajaan PN 2.0 yang dinamakan Keluarga Malaysia.
Malaysia menempa sejarah penubuhannya apabila dalam tempoh empat tahun lima bulan, tiga perdana menteri dan tiga kerajaan Persekutuan bertukar tangan.
Kemelut ini yang menyebabkan ekonomi negara merudum, politik tidak stabil, kehidupan rakyat makin terjejas, manakala pelabur pula bungkus tikar bantal tinggalkan negara ini untuk melabur di negara lain.
Tinggalkan Malaysia dalam pentadbiran yang tidak ada hala tuju kerana yang menguasai kerajaan bukan dari parti dominan, sebaliknya sekadar kerjasama antara parti.
Kerajaan seperti ini tidak akan stabil selama-lamanya kerana masing-masing akan ugut menggugut sekiranya Perdana Menteri tidak ikut kehendak mereka. Budaya ugut menggugut ini jika tidak dikawal boleh menyebabkan berlaku kerajaan baharu.
Ini yang mungkin baginda merasa amat kecewa. Nasihat sudah berbakul, tetapi masih juga ingkar.
Maka, cara terbaik ialah baginda memperkenan permintaan Ismail Sabri untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan yang benar-benar stabil bagi PRU ini dan selama-lamanya.
© Malaysia Gazette