Sekumpulan saintis berjaya sampai ke lokasi pokok paling tinggi

RIO DE JANEIRO – Sekumpulan saintis akhirnya berjaya sampai ke lokasi pokok paling tinggi yang pernah ditemukan di hutan hujan Amazon di Brazil.

Ia merupakan hasil perancangan pasukan penyelidik itu selama tiga tahun, lima ekspedisi dan pengembaraan selama dua minggu menempuh perjalanan sukar melalui hutan tebal.

Menurut saintis, pokok gergasi yang dikenali sebagai angellim vermelho setinggi 88.5 meter dengan lilitan berukuran 5.5 meter.



Pokok angellim vermelho yang terletak di Hutan Simpanan Sungai Iratapuru di utara Brazil, juga dikatakan sama tinggi bangunan 25 tingkat.

Para penyelidik pada mulanya menemukan pokok gergasi itu menerusi imej satelit pada 2019, sebagai sebahagian projek pemetaan tiga dimensi (3D).

Pada tahun yang sama, sekumpulan individu terdiri daripada ahli akademik, pencinta alam sekitar dan pemandu arah melakukan ekspedisi untuk sampai ke lokasi pokok gergasi itu.

Namun, pasukan tersebut terpaksa berpatah balik selepas melalui perjalanan sukar selama 10 hari termasuk mengalami keletihan, kekurangan bekalan dan jatuh sakit.



Tiga lagi ekspedisi ke kawasan terpencil Lembah Jari sampai di lokasi pokok gergasi lain termasuk pokok kacang tertinggi di Amazon.

Kumpulan saintis itu menemukan pokok angellim vermelho ketika ekspedisi pada 12 hingga 25 September lalu.

Sementara itu, ahli kumpulan saintis berkenaan, Diego Armando Silva menyifatkan pengembaraan ke tempat pokok gergasi itu amat berbaloi.

Kata Silva, pasukannya mengembara sejauh 250 kilometer (km) dengan menaiki bot melalui sungai mempunyai jeram yang berbahaya dan berjalan kaki merentasi kawasan hutan pergunungan untuk sampai ke lokasi terbabit.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button