Puad yakin pembangkang akan sertai PRU15
Oleh – Ku Zairi Ku Kamal
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Puad Zarkashi yakin pembangkang akan sertai PRU15 bagi mengelak lebih banyak masalah timbul kemudian hari.
“pembangkang kali ini defensif, tengoklah sehari dua ini, kita (BN/Umno) ada banyak ‘bullet’ “
“kita tidak seperti mereka yang membuat petisyen membantah pilihanraya diadakan”
Speaker Dewan Undangan Negeri Johor itu turut menyatakan Umno tidak ada masalah sekiranya pihak lawan tidak mahu menyertai Pilihanraya Umum Ke-15.
Sebagai rekod, Menteri Perikatan Nasional sebelum ini telah mengutus surat kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong bagi menyatakan bantahan pembubaran Parlimen pada tahun ini.
“Ya (surat dihantar)… itu pandangan kami (tidak bersetuju PRU15 diadakan tahun ini)… kami menghantar surat semalam dan Yang di-Pertuan Agong menerimanya. Semua menteri PN (menandatangani surat),” – Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man – 6 Oktober 2022
Pakatan Harapan dalam pada itu turut mengesahkan 3 negeri yang dikuasai mereka tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi PRU15.
Tiga negeri tersebut adalah Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Oleh yang demikian mereka (Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan) tidak akan mengadakan pilihan raya sehingga selesai isu banjir yg dijangka (sehingga) Feb atau Mac,” – Dato Seri Anwar Ibrahim – 5 Oktober 2022 – Pakatan Harapan
Bagi PAS pula menetapkan pendirian tidak akan membubarkan DUN di 3 negeri yang dikuasai PAS.
Tiga negeri di bawah pemerintahan PAS ialah Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Setakat ini kita buat keputusan tiga negeri tidak akan bubar sekiranya parlimen dibubarkan tahun ini, jadi kita tidak akan bubar DUN di negeri terbabit.
“Kita akan bubar tahun depan kecuali parlimen bubar tahun depan. Kita masih ada masa masih panjang sehingga Mei tahun depan,” – Dato’ Mohd Amar Abdullah – PAS – 6 Oktober 2022
Manakala itu, negeri yang tidak terbabit untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri ialah Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor.
Ini menjadikan Pahang, Perak dan Perlis akan membubarkan Dewan Undangan Negeri selaras dengan pembubaran Parlimen yang telah diumumkan Perdana Menteri, Dato Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober 2022.