Kes sakit jiwa di Malaysia semakin merisaukan

Kes sakit jiwa seperti bipolar dan skizofrenia dalam kalangan rakyat Malaysia semakin merisaukan.

Tidak keterlaluan untuk disebut, kesedaran terhadap penyakit mental dalam kalangan masyarakat agak kurang.

Ini kerana masih ada golongan yang beranggapan bahawa penyakit itu sekadar dibuat-buat.



Ada juga yang mendakwa, kebanyakan pesakit mental hanya menginginkan perhatian semata-mata.

Persepsi itu tidak seharusnya berlaku kerana sebagai ‘orang luar’ yang tidak pernah tahu bagaimana tingkah laku pesakit, seharusnya cuba untuk memahami keadaan bukannya mengeluarkan kata-kata atau pendapat yang tidak sepatutnya.

Memetik penulisan Mental Health Foundation, setiap lima orang dewasa, seorang daripadanya mempunyai masalah mental.

Bukan itu sahaja, statistik menyebut, seorang daripada 25 orang dewasa hidup dengan masalah kesihatan mental yang serius.



Ujar laman perubatan yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu lagi, lebih 10 juta pesakit yang berumur 18 tahun ke atas didiagnosis menghidapi lebih daripada satu gangguan kesihatan mental.

Di Malaysia pula, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati, sebanyak 29.2 peratus atau 4.2 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas mengalami masalah tersebut.

Angka itu sememangnya membimbangkan. Namun, sayangnya, tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap krisis kesihatan berkenaan masih berkurangan.

Pakar Psikiatri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Hijaz Ridzwan baru-baru ini memberi pandangannya menerusi laman sosial, Facebooknya.



Kata Dr Hijaz, penyakit mental seperti skizofrenia sering disalah tafsir oleh masyarakat.

“Skizofrenia sebenarnya merupakan salah satu penyakit mental yang serius. Ia bersifat kronik dan boleh berlaku berulang-ulang. Biasanya pesakit akan mengalami dua simptom iaitu halusinasi dan delusi yang mana kedua-duanya boleh mengganggu kewarasan,” jelasnya.

Berikut beberapa simptom skizofrenia:

i) Halusinasi: Pesakit skizofrenia yang mengalami halusinasi biasanya mendengar bisikan atau suara ghaib yang bercakap, mengutuk atau mengarah untuk berbuat jahat.



ii) Delusi: Pesakit yang mengalami delusi biasanya mempunyai tanggapan palsu yang diyakini dan dipercayai dengan sepenuh hati. Contohnya, mereka percaya bahawa keluarga berniat jahat dan merasakan dirinya tidak selamat.

Tambah Dr Hijaz, pesakit juga boleh mengalami gejala lain seperti berkelakukan aneh, bercakap merapu, fikiran tidak teratur.

“Walaupun kadar skizofrenia hanya 1 peratus, jika ia tidak dirawat di peringkat awal, ia boleh mengganggu fungsi hidup seseorang dan boleh memberi kesan kepada keluarga dan masyarakat,” ujarnya.

Sementara itu, Mayo Clinic berkata, gejala skizofrenia dalam kalangan remaja adalah sama, namun ia sedikit sukar untuk dikesan.



Pun begitu, laman perubatan itu menyenaraikan lima gejala. Antaranya:

i) Bertindak menjauhkan diri daripada rakan dan keluarga.
ii) Prestasi pembelajaran di sekolah menurun.
iii) Mengalami gangguan tidur.
iv) Berhadapan dengan kemerosotan tingkah laku dan tertekan.
v) Kekurangan motivasi

Beritahu Mayo Clinic lagi, tingkah laku dan fikiran terhadap ingin bunuh diri, sering terjadi dalam kalangan pesakit skizofrenia.

Justeru, jika ada ahli keluarga, rakan atau kenalan anda menghidap penyakit mental itu, elakkan mereka tinggal berseorangan kerana golongan berkenaan cenderung untuk membunuh diri.



Jika anda sendiri mengalami gejala berkenaan, segera dapatkan rawatan di hospital psikiatri atau klinik kesihatan yang berdekatan.

© Sinar Plus

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button