Skuter elektrik Blueshark R1 akan dilancarkan tahun depan

KUALA LUMPUR – EP Manufacturing Bhd (EPMB) akan melancarkan unit pemasangan tempatan (CKD) skuter elektrik Blueshark R1 pada suku ketiga tahun depan untuk pasaran Malaysia dan dieksport ke pasaran ASEAN.

Naib Pengerusi Eksekutif (Bukan Bebas) EPMB, Zulkefly Baharuddin, berkata bilik pameran 3S pertama Blueshark akan beroperasi sepenuhnya bulan depan di Taman Perindustrian Glenmarie, Shah Alam.

“Dengan pelaburan infrastruktur dan teknologi yang signifikan, Blueshark komited untuk perkongsian pengetahuan, pembinaan kapasiti dan penciptaan pekerjaan di Malaysia sebagai hab untuk mengeksport kenderaan elektrik beroda dua (2WEV) ke ASEAN dan dunia.



“Kami juga berhasrat untuk melancarkan program perintis pada bulan depan untuk menunjukkan kebolehlaksanaan platform elektrik bagi destinasi awal hingga akhir kami dan ekosistem tersedia pasaran di Lembah Klang dan untuk meneruskan agenda mobiliti yang selamat dan mampan pada jumlah kos operasi yang lebih rendah.

“Blueshark juga akan menjadi rakan kongsi pelaksanaan MGTC dalam rangka kerja Bandar Karbon Rendah (LCC) merentasi 155 majlis perbandaran, menyokong agenda hijau bersama kami dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pengenalan skuter elektrik Blueshark R1 dan majlis menandatangani memorandum kerjasama (MoC) di antara EPMB dan Blueshark dengan Blueshark Ecosystem Sdn Bhd dan MGTC di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (ASEAN) EP Blueshark Sdn Bhd, Jeff Chong Chan dan Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Shamsul Bahar Mohd Nor.



Skuter elektrik Blueshark R1 menampilkan sistem operasinya tersendiri iaitu ArkRide yang sentiasa terhubung dan hadir dengan ciri interaksi peranti pintar.

Ia membawakan pengantara muka mesra pengguna berasaskan Android yang boleh disesuai, di samping pelbagai ciri bantuan penunggang yang membolehkan pengemaskinian perisian dibuat dari jauh.

Selain itu, Blueshark R1 turut hadir dengan telemetri kenderaan serba komprehensif yang disambungkan kepada Internet Kenderaan (IoV).

Ia juga menawarkan teknologi penukaran bateri litium besi fosfat (LFP) yang canggih, sumber tenaga yang berketahanan tinggi dan efisien.



Menerusi teknologi penukaran bateri yang mudah, waktu pengecasan semula adalah jauh lebih singkat.

Skuter seberat 92 kilogram itu mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 80 kilometer (km)/sejam dan boleh ditunggang sejauh 110 km untuk sekali pengecasan penuh.

EPMB baru-baru ini telah mendapat kelulusan sepenuhnya oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk memasang dan mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) beroda dua menerusi kemudahan pembuatannya di Glenmarie, Shah Alam.

Menerusi anak syarikat milik penuhnya, EP Blueshark Sdn Bhd (EP Blueshark), EPMB pada 26 September lalu telah menerima Lesen Pengilangan daripada MITI untuk menjalankan aktiviti pemasangan motosikal elektrik.



© Berita Harian 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button