Kilang logam ditahan operasi – JAS Johor

PASIR GUDANG: Sebuah kilang penyaduran logam di Tanjung Langsat di sini, yang didapati melepaskan pencemaran ke udara dikenakan

tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) dalam operasi dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dan Pasir Gudang.

Menerusi kenyataan media di Facebook Jabatan Alam Sekitar (JAS), POK yang dilakukan kelmarin itu di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, kerana berlaku pelepasan pencemaran ketara.



“Alat kawalan udara dan efluen di premis terbabit tidak berfungsi dan gagal beroperasi dengan baik.

“Malah, terdapat kawasan proses pengeluaran beroperasi tanpa alat kawalan, buangan terjadual tidak diuruskan dengan betul di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

“Tindakan POK diambil bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku dan premis diarahkan untuk mengambil tindakan pembaikan dalam tempoh POK berkenaan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, persampelan efluen dan bahan buangan terjadual daripada premis itu sudah dijalankan untuk tindakan penguatkuasaan selanjutnya.



“Seramai 10 anggota penguatkuasa dari JAS Cawangan Pasir Gudang dan JAS Johor terbabit dalam pemeriksaan berkenaan yang bermula jam 10 pagi dan berakhir jam 1 pagi.

“Semua premis industri diingatkan supaya sentiasa mematuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya dan tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku kesalahan mencemarkan alam sekitar,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button