Akibat kencing manis, Roslan Saleh sudah tidak boleh melihat

KUALA LUMPUR – Sejak hilang daya penglihatan akibat penyakit kencing manis yang dideritai lebih 20 tahun lalu, emosi pelakon veteran, Roslan Saleh, 65, mula turun naik.

Tidak cukup itu, ujian pelakon filem Ratu Kala Jengking : Puteri Keranda itu bertambah berat apabila dia sudah tidak mampu lagi bergerak selepas kedua belah kaki melecur akibat rawatan alternatif yang dijalani hingga terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Melaka.

Isteri Roslan, Zainun Majid, 53, yang setia menjaga suami tersayang sejak pelakon itu hilang upaya mengurus diri, berkata, biarpun bukan mudah menjaga orang sakit, dia sentiasa bersikap positif.



“Emosi suami kurang stabil. Ada masa okay, ada masa tidak. Biasalah, daripada matanya terang, tiba-tiba dunianya menjadi gelap tentulah emosinya terganggu.

“Tetapi saya sentiasa cuba berfikiran positif. Bukan mudah menjaga orang sakit, lebih-lebih lagi dalam keadaan suami yang tidak lagi mampu menguruskan diri.

“Keadaan suami masih sama, cuma luka pada kakinya semakin baik. Sebelum ini, setiap hari, saya dan anak bongsu perlu membawa suami ke klinik bagi mencuci luka.

“Tetapi minggu lalu, doktor beritahu lukanya tidak perlu dicuci hari-hari,” katanya kepada BH Online.



Zainun bersyukur kerana cepat membawa suaminya ke hospital. Jika tidak, katanya, kaki Roslan atau mesra dengan panggilan Pak Lan berisiko dipotong.

“Mujur kami cepat bawa suami ke hospital pada hari raya keempat. Pada mulanya, kami bawa suami ke Hospital Alor Gajah.

“Namun, disebabkan keadaan kakinya yang teruk, suami dihantar ke Hospital Melaka.

“Keadaan kakinya memang teruk hingga nampak tulang. Doktor kata dua sentimeter sahaja lagi kakinya berisiko untuk dipotong.



“Saya lega kerana hasil pemeriksaan baru-baru ini, doktor dapati luka pada kakinya sudah semakin pulih.

“Luka itu bukan berpunca daripada kencing manis, sebaliknya, disebabkan rawatan alternatif menggunakan alatan seperti pengering rambut yang dikatakan mampu merawat masalah sendi,” katanya.

Roslan dan Zainun memiliki empat cahaya mata, namun, seorang daripada anak mereka sudah meninggal dunia.

Tiga anak yang masih hidup berusia antara 20 tahun hingga 39 tahun.



Ditanya apakah Roslan meluahkan kerinduan kepada bidang lakonan, Zainun tidak menafikan, sebagai seorang anak seni, perasaan itu pasti bertandang.

Bagi mengikis rindu, kata Zainun, sesekali Roslan melayan cucu dengan mengajar mereka bersajak.

“Mestilah rasa rindu itu ada, berpuluh tahun dia mencari rezeki dalam dunia lakonan. Iaitu sejak anak kedua kami berumur dua tahun lagi.

“Apatah lagi, sekarang, dia banyak berbaring dengan keadaan mata yang tidak mampu melihat.



“Jadi, memang boleh nampak suami rindukan dunia lakonan,” katanya.

Berkongsi mengenai sumber pencarian keluarga, Zainun mengaku pendapatan agak terjejas sejak Roslan tidak mampu lagi keluar mencari rezeki.

Sebelum ini, tambah Zainun, jika tiada tawaran lakonan, suaminya mengusahakan perniagaan dendeng serta sambal berlado.

Perniagaan itu masih lagi diteruskan secara kecil-kecilan oleh Zainun dan anak bongsunya, Mohamad Danial yang mana bekalan dihantar ke kedai atau stesen minyak.



“Sebelum ini, suami keluar berniaga sendiri. Orang kenal dia dan suami peramah. Jadi, perniagaan kami ketika itu boleh dikira baik.

“Tetapi sejak suami jatuh sakit, saya dan anak hanya mengusahakannya secara kecil-kecilan kerana banyak masa perlu diberi kepada suami.

“Alhamdulillah, ada insan yang bermurah hati menghulurkan bantuan seperti memberi lampin pakai buang. Jadi, ia sedikit meringankan beban kami,” katanya.

Ditanya mengenai kunjungan rakan-rakan, Zainun berkata, sejak kisah suaminya tular, baru-baru ini, mereka dikunjungi teman Roslan ketika menuntut di maktab perguruan selepas puluhan tahun tidak ditemui.

Zainun berkata, sebelum ini, suami pernah mengadu sedih kerana rakan-rakan tidak datang berkunjung. Namun, Zainun menganggap ada hikmah apabila kisah suaminya menjadi tular.

“Sebenarnya, saya tidak suka hebohkan keadaan suami. Tetapi sejak kunjungan Ustaz Taufiq yang berkongsi keadaan terkini Roslan dalam media sosial, kawan lama suami mula menghubungi untuk bertanya khabar.

“Ada yang datang menziarah. Malah, baru-baru ini seramai tujuh keluarga datang melawat suami.

“Mereka adalah rakan-rakan zaman maktab perguruan yang sudah puluhan tahun tidak berjumpa.

“Memang terserlah kegembiraan pada wajah suami. Menurut suami, ada hikmah semua ini berlaku.

“Malah, bekas anak murid suami juga ada menghubungi dan beritahu ingin datang ke Melaka melawatnya,” katanya.

Sebelum menceburi bidang lakonan, Roslan pernah menjadi guru Bahasa Melayu dan sejarah di sekolah rendah di Kuantan, Pahang.

Roslan bagaimanapun meninggalkan kerjaya dalam bidang perguruan dan memilih bidang lakonan ketika anak keduanya berusia dua tahun.

Antara filem lakonan Roslan Lelaki Harapan Dunia, KL Special Force, Munafik 2

dan Ratu Kala Jengking : Puteri Keranda.

Membintangi drama popular antaranya Durja Ningsun, Dulang Wan Chu dan Pintu Taubat.

Rabu lalu, Roslan dikunjungi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan

Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Prof Dr Md Nasir Ibrahim.

© Berita Harian 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button