PM sokong Melaka bina panel solar terapung di Jasin

JASIN – Pelaksanaan projek tenaga solar terapung di Loji Rawatan Air Jus Fasa 2 di Empangan Jus, di sini, selari dengan hala tuju kerajaan ke arah mencapai negara sifar karbon (NZC) menjelang 2050.

Susulan itu, Perdana Menteri, berkata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan menyokong usaha Kerajaan Melaka menerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) meneruskan pelaksanaan panel solar terapung kerana inisiatif bagi projek tenaga boleh diperbaharui itu juga dilihat dapat memacu perkembangan teknologi yang baik bagi negeri ini.

Beliau berkata, sejumlah RM40 juta diluluskan kerajaan bagi pembinaan loji itu sebagai satu inisiatif SAMB membantu kerajaan negeri dan rakyat Melaka yang sebelum ini berdepan kemarau sehingga terpaksa mencatu bekalan air pada Januari hingga Mac 2020.



“Selain memastikan kecukupan bekalan air terawat untuk Keluarga Malaysia di Melaka, projek ini mampu meningkatkan nama Melaka sebagai negeri maju dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” katanya berucap merasmikan Loji Rawatan Air Kompak Chinchin, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan EXCO Kanan Perindustrian, Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Kerajaan Melaka melalui SAMB sebelum ini meluluskan satu kajian berkaitan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

Ia akan mengkaji kebolehlaksanaan pemasangan panel solar terapung atas permukaan air dengan kapasiti 150 megawatt di Empangan Durian Tunggal bagi menjana bekalan elektrik kepada operasi SAMB.



Perdana Menteri berkata, loji itu beroperasi menggunakan bekalan air mentah dari Tasik Biru yang juga bekas lombong tidak lagi digunakan.

Justeru, katanya, Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM350 juta melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Melaka di Tasik Biru ini bagi menambah sumber bekalan air mentah di seluruh negeri ini.

“Sebagai penyelesaian jangka panjang, Kerajaan Pusat turut meluluskan peruntukan RM150 juta menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), bagi kerja penyaluran air mentah daripada TAPS Melaka ke Empangan Jus di Jasin yang dijangka siap pada 2028.

“Pada masa sama, Kerajaan Pusat sedang melaksanakan projek pembinaan TAPS Jernih di Alor Gajah dengan peruntukan RM234.7 juta dan dijangka siap pada 2026,” katanya.



© Berita Harian 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button