Bekalan telur ayam meruncing di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Bekalan telur ayam di negeri ini semakin meruncing apabila 28,000 biji terpaksa diagihkan kepada 120 peruncit termasuk pasar raya dalam tempoh seminggu.

Beberapa pemborong mengakui bekalan telur dipotong pengeluar antara 5,000 hingga 7,000 biji seminggu.

Pemborong, Jason Tan, berkata beliau hanya menerima 13,000 biji telur seminggu walaupun pesanan dibuat daripada pengeluar antara 18,000 hingga 22,000 biji seminggu.



Katanya, bekalan yang ditempah dihantar setiap Sabtu, Selasa dan Rabu oleh pengeluar dari Melaka dan Selangor.

“Kita terpaksa memotong pengagihan bekalan telur kepada 90 pelanggan tetap termasuk beberapa pasar raya besar antara 800 hingga 1,000 telur seminggu.

“Penghantaran bekalan telur kepada peruncit termasuk pasar raya terpaksa dilakukan secara bergilir-gilir susulan kekurangan bekalan diterima daripada pengeluar,” katanya ketika ditemui di gudangnya di Kampung Gong Kiat, Bukit Payong, Marang, di sini, hari ini.

Sementara itu, tinjauan dilakukan di sebuah kedai pemborong di Cabang Tiga mendapati pelanggan beratur panjang untuk mendapatkan bekalan telur.



Pekerja di syarikat pemborong yang hanya mahu dikenali sebagai Firdaus berkata, setiap pelanggan dihadkan membeli sebanyak lima papan telur mengandungi 150 biji.

Beliau berkata, syarikatnya hanya memperoleh sebanyak 12,000 biji telur pada setiap Ahad dan Selasa, manakala 2,000 biji telur pada Khamis.

“Syarikat memperoleh bekalan daripada pengeluar telur dari Melaka,” katanya yang mengakui bekalan telur semakin berkurangan sejak kebelakangan ini.

Mengulas lanjut, Firdaus mengakui terpaksa memekakkan telinga disebabkan ada antara pembeli bertindak agresif kerana tidak berpuas hati jualan telur dihadkan hanya lima papan seorang bagi 150 biji.



Suri rumah, Zaimah Ali, 48, dari Kampung Tok Kaya, di sini, berkata dia terpaksa beratur kira-kira sejam untuk mendapatkan tiga papan telur.

“Saya terpaksa ke kedai pemborong untuk mendapatkan bekalan berikutan semua kedai runcit di kampung kehabisan bekalan sejak seminggu lalu,” katanya.

BHOnline




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading