Penyelewengan minyak masak tumpas

Kuala Lumpur: Dua aktiviti penyelewengan barang kawalan subsidi minyak masak dengan nilai keseluruhan RM50,587 dilumpuhkan di Taman Bamboo dan Jalan Chow Kit, di sini, 12 Oktober lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur Ariffin Samsuddin berkata, pihaknya menerima dua serahan kes dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Lima individu termasuk seorang warga asing ditahan dalam dua kes serahan berkenaan. Ini adalah kejayaan hasil kerjasama strategik KPDNHEP dan PDRM.



“KPDNHEP Kuala Lumpur akan meneruskan siasatan lanjut ke atas dua kes terbabit untuk mengenal pasti individu atau mana-mana pihak yang terbabit secara langsung di dalam aktiviti sindiket ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, menerusi serbuan yang dijalankan itu, 955 kotak minyak masak bersubsidi dirampas.

“Siasatan mendapati kedua-dua sindiket ini mendapatkan bekalan minyak masak dari negeri lain sebelum dikumpulkan di ibu kota.

“Sindiket akan mengumpulkan minyak masak paket ke dalam tong sebelum dijual semula kepada industri dengan harga sekali ganda dari harga subsidi,” katanya.



Ariffin berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki berurusan (menyimpan) barang kawalan iaitu minyak masak bersubsidi tanpa memiliki lesen yang sah.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button