Laluan Peringkat 7 LTdL diubah susulan tanah runtuh

LANGKAWI: Laluan Peringkat 7 PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 terpaksa diubah ekoran cuaca buruk dan tanah runtuh, kata penganjur perlumbaan dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Presiden Komisar perlumbaan, Wayne Pomario bersetuju dan memutuskan untuk menggunakan laluan bagi Peringkat 8 yang juga kemuncak edisi ke-26 pada Selasa ini diguna pakai untuk Peringkat 7, esok.

“Susulan mesyuarat bersama pihak berkuasa tempatan disertai Jabatan Kerja Raya, Pejabat Daerah Langkawi dan Jawatankuasa Keselamatan Trafik Daerah Langkawi, memutuskan penamat Peringkat 7 di puncak Gunung Raya dibatalkan demi keselamatan pelumba, pasukan, kumpulan yang menyertai perlumbaan dan juga orang ramai.



“Pembatalan ini dibuat kerana tanah runtuh yang berlaku di empat lokasi di Gunung Raya. Dengan itu, Presiden Komisar perlumbaan bersetuju yang laluan Peringkat 8 akan digunakan untuk perlumbaan Peringkat 7 esok,” kata pihak penganjur dalam kenyataan itu.

Peringkat 7 perlumbaan sepatutnya berlangsung dari Kuah ke Gunung Raya membabitkan laluan sejauh 90.8 kilometer (km) dengan menyediakan tiga zon pecutan dan dua zon pendakian.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) hari ini mengesahkan kawasan yang terbabit dengan banjir adalah Kampung Teluk Yu, Kampung Kilim dan Kampung Telaga Ayer Hangat di Ayer Hangat; Kampung Belanga Pecah di Kuah; Bukit Kemboja dan Sungai Melaka di Padang Matsirat dan Empangan Padang Saga di Ulu Melaka.

Turut dilaporkan tanah runtuh juga membabitkan kawasan di Ulu Melaka dan Jalan Gunung Raya manakala pokok tumbang berlaku di Ulu Melaka, Ayer Hangat, Kuah dan Bohor.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button