Ten Hag tiada masalah bantahan Ronaldo
MANCHESTER: Pengendali Manchester United, Erik ten Hag berkata, dia tidak mempunyai masalah dengan bantahan ditunjukkan Cristiano Ronaldo apabila dikeluarkan ketika seri 0-0 menentang Newcastle.
Ronaldo memulakan permainan buat pertama kali sejak dibelasah 4-0 oleh Brentford pada Ogos, tetapi dikeluarkan oleh Ten Hag ketika aksi berbaki 18 minit Ahad lalu.
Pemenang lima kali Ballon d’Or menunjukkan rasa tidak puas hati dengan menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Saya rasa tidak ada pemain yang gembira apabila dikeluarkan dan tentunya bukan Ronaldo. Saya memahaminya.
“Selagi ia dilakukan dengan cara yang normal, saya tidak ada masalah. Sudah tentu dia rasa dia patut kekal dan menjaringkan gol. Sebab itu dia sehebat itu,” kata Ten Hag.
Keputusan mengeluarkan Ronaldo turut dipersoalkan peminat United selepas penggantinya, Marcus Rashford, mensia-siakan peluang untuk memenangi perlawanan dalam masa kecederaan.
Bagaimanapun Ten Hag percaya mereka sepatutnya sudah mendahului permainan menerusi jaringan Ronaldo di awal babak kedua yang kemudian dibatalkan.
Penyerang Portugal itu yakin bola sudah dalam permainan apabila Fabian Schar menghantar bola kepada penjaga gol Newcastle, Nick Pope.
United turut didakwa oleh Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) selepas beberapa pemainnya membantah pengadil, dan Ronaldo dilayangkan kad kuning.
AFP