Wafariena dipaksa 12 kali lakukan babak tercampak

KUALA LUMPUR: Selepas lima hari dirawat di sebuah hospital swasta di Rawang akibat kecederaan ketika penggambaran supertele, Mata Tak Berhijab, pelakon Wafariena Roslan, 27, akhirnya dibenarkan keluar wad, minggu lalu.

Kisah pelakon yang mengecapi populariti menerusi watak Nurul dalam drama 7 Hari Mencintaiku 2 itu menjadi kecoh apabila mengalami kecederaan serius pada bahagian punggung dan perut, selain berlaku pendarahan apabila diminta pengarah melakukan aksi lagak ngeri.

Namun, apa yang mengecewakan ibu Wafariena yang juga pengurusnya, Suzana Hamad, 59, apabila pengarah langsung tidak bertanya khabar mengenai kecederaan yang dialami anaknya itu.



Lebih terkilan, syarikat produksi mulanya seakan bermain tarik tali hingga ditolak ke sana-sini seperti pengemis apabila menuntut wang deposit kemasukan ke hospital.

Mengulas keadaan Wafariena, Suzana berkata, keadaan anaknya masih lemah.

“Doktor sudah melakukan semua pemeriksaan dan Wafariena dikehendaki menjalani fisioterapi sebanyak tiga kali seminggu sehinggalah keadaannya sembuh.



“Bahagian perut masih lagi sakit. Sekiranya batuk atau ketawa, Wafariena akan rasa sakit.

“Ini kerana kru produksi mengikat tali pada pinggangnya ketika melakukan aksi tercampak. Wafariena melakukan aksi itu sebanyak 12 kali sehingga mengalami kekejangan,” katanya kepada BH Online.

Suzana berkata, Wafariena sepatutnya masih mempunyai baki lapan babak walaupun mengikut perjanjian, jadual lakonan sepatutnya berakhir pada 7 Oktober lalu.

“Namun, disebabkan masih ada babak belum selesai, penggambaran disambung lagi. Walaupun masih berbaki beberapa babak, saya difahamkan, penggambaran sudah selesai.



“Jadi, saya tidak tahu apa dilakukan untuk baki babak dalam super tele ini.

“Memang saya kecewa. Sehingga hari ini, pengarah tidak pernah menghubungi saya atau Wafariena. Hanya wakil produksi datang menjenguk.

“Apa yang saya terkilan dan geram, pengarah tetap meminta Wafariena melakukan aksi lagak ngeri biarpun sudah nampak keadaan anak saya lemah,” katanya.

Kongsinya, sepatutnya, ada pelakon aksi lagak ngeri, tetapi disebabkan dua hari menunggu masih belum dipanggil, akhirnya pelakon lagak ngeri ini meninggalkan lokasi pada hari ketiga.



“Jadi, Wafariena terpaksa melakukan aksi lagak ngeri sendiri.

“Bayangkan, selepas apa yang berlaku, Wafariena hanya berehat dalam kereta sementara menunggu hari siang untuk dibawa ke klinik. Namun, pengarah langsung tidak bertanyakan keadaan anak saya,” katanya.

Suzana berkata, mulanya, dia bercadang mengambil tindakan kerana pengarah lepas tangan, begitu juga dengan produksi seakan-akan mengelak apabila ditanya mengenai kos pembiayaan hospital Wafariena.

“Apabila menghubungi penerbit, semuanya sudah diserahkan kepada pengurusan. Pengurusan pula minta saya hubungi penerbit.



“Akhirnya, penerbit menghantar wakil berbincang dengan saya. Produksi sudah pun membayar semula wang pendahuluan untuk kemasukan ke hospital bernilai RM6,000.

“Untuk kos keseluruhan rawatan bernilai lebih RM8,000, penerbit berjanji membayarnya. Saya akan membuat tuntutan, cuma belum memberitahu penerbit mengenai kos rawatan fisioterapi yang perlu dilakukan Wafariena lagi.

“Secara logik, syarikat produksi perlu mengeluarkan kos rawatan kerana kecederaan berlaku ketika bekerja,” katanya.

Katanya, setakat ini belum tahu berapa lama Wafariena akan bercuti. Ada antara tawaran yang sudah dipersetujui dibatalkan dan terpaksa memulangkan semula wang pendahuluan.



“Kami akan berbincang secara baik dengan penerbit kerana terpaksa menanggung kerugian memandangkan Wafariena tidak boleh bekerja.

“Setakat ini, penerbit mudah dibawa berbincang, cuma soal ini saya masih belum maklum lagi. Kami akan berbincang dengan cara baik,” katanya.

Terdahulu, badan Wafariena mula sakit selepas diminta melakukan babak aksi lagak ngeri, jam 3 pagi di kawasan hutan di Lenggong, Perak. Akhirnya, Wafariena terpaksa dipapah kerana tidak boleh bergerak.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button