Bekalan telur kurang di Negeri Sembilan sejak dua minggu lalu

SEREMBAN: Kekurangan bekalan telur ayam di negeri ini dikesan sejak dua minggu lalu.

Bagaimanapun harga bahan mentah berkenaan masih terkawal dan tidak melebihi harga maksimum.

Tinjauan di beberapa pasar raya dan kedai runcit di sekitar daerah ini mendapati rak telur kosong dan hanya terdapat beberapa paket telur ayam kampung.



Suri rumah, Syuhadah Majid berkata, sudah dua kali dia ke pasar raya, namun kecewa dan terpaksa mencari di beberapa kedai runcit lain.

“Sejak minggu lalu sudah dua kali saya terpaksa membeli telur ayam kampung kerana tiada pilihan. Harganya sedikit mahal berbanding telur ayam biasa.

“Ada kedai runcit masih ada bekalan telur dalam kemasan paket empat biji atau perlu dibeli sepapan iaitu sebanyak 30 biji,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan, berkata situasi itu berpunca daripada permintaan tinggi daripada pengguna di pasaran ketika ini terutama menjelang musim perayaan.



“Namun bekalan di sesetengah kawasan terbabit tidak memberikan kesan kenaikan harga bahan berkenaan dan harga maksimum yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu bagi peringkat runcit masih dipatuhi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Zahir berkata, untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi di negeri ini, pihaknya akan memantau kedudukan bekalan telur ayam di 151 peruncit terpilih daerah di Negeri Sembilan.

“Berdasarkan rekod kedudukan telur ayam di 151 DDR yang dilaporkan pada 18 Oktober 2022, sebanyak 308,470 biji telur ayam pelbagai gred berada di pasaran untuk pengguna.

“Semakan juga dijalankan di dua ladang telur ayam di negeri ini mendapati pengeluaran di peringkat ladang tidak berlaku sebarang pengurangan bekalan telur ayam,” katanya.



Beliau berkata sehingga kini, pihaknya hanya menerima satu aduan melalui sistem e-aduan KPDNHEP berhubung kekurangan bekalan telur ayam di sebuah premis di sekitar Nilai.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya menasihati pengguna supaya membuat pembelian telur ayam secara biasa dan dalam kuantiti yang diperlukan sahaja.

“Sekiranya pengguna membuat pembelian secara panik dengan kuantiti yang banyak, ia akan menyebabkan gangguan rantaian bekalan setempat secara tiba-tiba,” katanya.

BHOnline




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading