Pendedahan laporan STF bongkar kegagalan, penipuan PH

KUALA LUMPUR: Pendedahan dalam laporan Pasukan Petugas Khas (STF) siasatan ke atas dakwaan dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, disifatkan sebagai membongkar kegagalan dan penipuan Pakatan Harapan (PH) susulan tindakan didakwa dilakukan ketika pemerintahan gabungan itu.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, mendakwa pendedahan itu menunjukkan bahawa prosedur serta undang-undang dibuat ketika era bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi bagi memperkasakan sistem kehakiman dan memperkuat pemisahan kuasa antara cabang eksekutif serta kehakiman, diketepikan sewenang-wenangnya.

Berdasarkan laporan itu, beliau mendakwa, bekas Peguam Negara yang dilantik ketika pemerintahan PH dilihat seperti terbabit dalam pelbagai tindakan meragukan.



“Pelantikan pemegang jawatan tertinggi dalam institusi kehakiman negara pada Julai 2018 adalah individu yang dipersetujui dalam perbincangan sulit (didakwa) antara Tommy dengan (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Yakni pelantikan untuk Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya, serta Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak. Nama (dikemukakan) terbabit berbeza berbanding pilihan (dibuat) Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shahril Sufian mendakwa, tindakan itu bercanggah dengan peruntukan undang-undang, khususnya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, iaitu seorang Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk memilih calon hakim.

Sebaliknya, sebarang nama yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong hendaklah berasaskan cadangan daripada JAC.



“Ini bukan persoalan integriti mana-mana hakim yang dilantik pada 2018, jauh sekali mempersoalkan keabsahan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Namun, PH menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) antara lain dengan laungan dan slogan menambah baik tadbir urus, mengurangkan kebarangkalian salah guna kuasa, campur tangan dalam kehakiman dan sebagainya,” katanya.

Menjelang PRU15 pula, beliau berkata, PH kini menjaja slogan serupa yang mendakwa mereka bersih, lebih reformis, lebih ikhlas dan lebih ‘rakyat’.

“Mereka menuduh UMNO hendak menang sebab mahu campur tangan kes mahkamah. Mahu percaya lagikah? Atau lebih mahu percaya laungan pemimpin mereka yang secara gah berkata dalam ceramah, ‘kami akan sumbat kamu dalam penjara lepas menang’,” katanya.



BHOnline


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading