‘Hasil jualan sara anak di U’

Padang Terap: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyasarkan jualan produk usahawan desa mencecah RM200,000 menerusi Mini Karnival Usahawan Desa(KUD)@Padang Terap selama tiga hari bermula semalam sehingga esok.

Program diadakan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Nerang di sini, dijangka menerima 5,000 pengunjung setiap hari.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, elemen penting penganjuran Mini KUD ini antaranya sebagai platform mempromosi kemudahan serta insentif disediakan kementerian dan agensi sekali gus membantu perniagaan usahawan luar bandar pasca pandemik Covid-19.

Katanya, program berkenaan menjadi antara medium mewujudkan akses pasaran produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar kepada pemborong, pengedar dan pembeli.

“Lebih 100 usahawan menyertai Mini KUD@Padang Terap daripada kategori makanan dan minuman, pakaian wanita, pakaian lelaki dan kanak-kanak, kecantikan dan kesihatan, kraftangan serta produk pertanian.

“Turut serta ialah peniaga masakan panas serta penjaja yang menjual pelbagai makanan dan minuman dari pelbagai agensi KPLB dan usahawan tempatan di bawah kelolaan Majlis Daerah Padang Terap,” katanya pada program berkenaan, di sini, kelmarin.

Selain itu, Che Murad berkata, pengunjung juga berpeluang menikmati pembelian seekor ayam dan beras lima kilogram dengan harga RM10 sahaja.

Katanya, 3,000 pek ayam dan beras disediakan sepanjang tiga hari penganjuran Mini KUD@Padang Terap berkenaan.

“Kita juga ada Petting Zoo yang menyediakan pelbagai aktiviti seperti pertunjukan arnab baka, rusa, haiwan eksotik serta pertandingan kambing baka pilihan Kedah dan pertandingan ayam ratu,” katanya.

Sementara itu, usahawan produk kraftangan masyarakat Orang Asli suku Semai, Salina Bah-Daun, 51, berkata dia sangat gembira menyertai karnival terbabit kerana membantu meningkatkan jualan produknya.

“Saya bawa produk yang dihasilkan Orang Asli dari Kampung Batu 14, Jalan Pahang, Tapah, Perak. Antara produk yang saya jual ialah seruling, herba, tikar mengkuang, tudung saji, bubu dan pelbagai lagi produk diperbuat daripada buluh dan rotan.

“Sambutan hari pertama sangat baik dan saya jangka dapat jualan lebih RM3,000 hari ini (semalam). Saya harap KPLB memperbanyakkan program seperti ini kerana ia membantu meningkatkan pendapatan kami berbanding berniaga di tempat sendiri.

“Dengan hasil jualan di karnival ini, saya dapat membiayai pengajian tiga anak di universiti. Terima kasih kepada KPLB kerana tidak pernah meminggirkan kami masyarakat Orang Asli,” kata ibu lapan anak itu.

Mini KUD edisi keempat tahun ini menyaksikan pembabitan enam agensi di bawah KPLB iaitu Majlis Amanah Rakyat (Mara), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Felcra Berhad, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda).

Turut serta, Institut Kemajuan Desa (Infra), Bahagian Korporat dan Pembangunan Kemahiran (K) dan Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti (EK).

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker