Pearly-Thinaah juara Terbuka Perancis

KUALA LUMPUR: Gandingan Pearly Tan-M Thinaah mencipta sejarah apabila muncul beregu wanita pertama negara menjuarai saingan Terbuka Perancis di Paris.

Kejayaan itu hadir selepas pasangan ranking ke-11 dunia itu mengejutkan juara dunia dua kali, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun menerusi kemenangan 21-19, 18-21, 21-15 pada aksi yang berlangsung di Stade Pierre de Coubertin.

Sebelum ini, pencapaian terbaik beregu wanita negara pada kejohanan yang mula diperkenalkan pada 1908 itu adalah menerusi gandingan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui yang muncul naib juara pada edisi 2008.



Sebagai rekod, kejuaraan di Paris kali ini adalah gelaran kedua buat Pearly-Thinaah dalam Jelajah Dunia BWF selepas menjuarai Terbuka Switzerland, tahun lalu.

Lebih manis, kejayaan pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu muncul juara menyaksikan mereka berjaya menamatkan kemarau kejuaraan Malaysia di Terbuka Perancis selepas kali terakhir dimenangi bekas pemain perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2015.

Sementara itu, aksi final perseorangan lelaki menyaksikan juara dunia, Viktor Axelsen dari Denmark merekodkan kejuaraan pertama Terbuka Perancis selepas menundukkan rakan senegara, Rasmus Gemke 21-14, 21-15.

Ia adalah gelaran juara kelima buat Axelsen dalam Jelajah Dunia BWF tahun ini selepas turut menjuarai Seluruh England, Masters Indonesia, Terbuka Indonesia dan Terbuka Malaysia sebelum ini.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button