Pogba sah terlepas beraksi di Piala Dunia
MILAN: Paul Pogba akan terlepas misi mempertahankan kejuaraan Piala Dunia bersama Perancis berikutan dia memerlukan masa lebih lama untuk pulih daripada pembedahan lutut, kata ejennya.
“Susulan penilaian perubatan semalam dan hari ini di Torino dan Pittsburgh, dukacita dimaklumkan yang Paul Pogba memerlukan masa untuk sembuh daripada pembedahannya.
“Atas sebab itu, Paul tidak akan dapat menyertai skuad Juventus sebelum rehat Piala Dunia atau pasukan Perancis di Qatar,” kata Rafaela Pimenta.
Pengendali Juve, Massimiliano Allegri pada Jumaat lalu mengatakan pemain tengah berusia 29 tahun itu mungkin tidak akan beraksi untuk pasukannya dalam saingan Serie A sebelum rehat Piala Dunia.
Media Itali sebelum ini melaporkan yang Pogba mungkin terpaksa berehat sehingga 15 hari akibat kecederaan paha.
Pogba adalah antara 12 pemain Juve yang tidak dapat beraksi ketika ini.
Dia tidak bermain untuk kelabnya sejak kembali dari Manchester United pada musim panas lalu, susulan kecederaan di lutut kanannya Julai lalu.
Pogba antara tonggak kejayaan Perancis ketika memenangi Piala Dunia di Russia empat tahun lalu. Dia menjaringkan gol dalam kemenangan 4-2 ke atas Croatia pada aksi final.
Ketiadaannya dalam skuad kendalian Didier Deschamps adalah susulan kepada kecederaan gandingannya di bahagian tengah, N’Golo Kante yang terpaksa berehat empat bulan selepas kecederaan hamstring.
AFP