Awas ejen jualan minta nombor kad kononnya untuk pengesahan

Oleh – Syeikh Baran


Awas ejen jualan minta nombor kad kononnya untuk pengesahan
RAMLI Mohamed Yoosuf. FOTO arkib NSTP

Hati-hati taktik penjenayah yang menyamar sebagai ejen jualan pihak bank dan meminta mangsa mendedahkan nombor kad pengenalan kononnya bagi tujuan pengesahan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, orang ramai diingatkan supaya tidak melayan sebarang panggilan yang tidak dikenali.



“Ejen ini akan menggunakan talian telefon bimbit untuk membuat panggilan kepada pelanggan bank seterusnya ‘ejen’ akan meminta pengesahan kebiasaannya empat angka akhir kad pengenalan mangsa.

“Jangan ambil risiko, kerana terbukti bahawa dengan hanya menjawab panggilan kurang 10 minit mangsa boleh kerugian puluhan ribu ringgit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ramai yang keliru apabila dihubungi oleh penjenayah kerana pihak bank juga menggunakan perkhidmatan ejen yang meminta pengesahan identiti menggunakan nombor kad pengenalan.

Katanya, pihak bank digesa supaya mencari alternatif lebih baik bagi berhubung dengan pelanggan untuk mengelakkan kekeliruan berlaku seterusnya pelanggan pula ditipu sindiket penipuan.



“JSJK menasihatkan supaya tidak mengesahkan sebarang maklumat peribadi kerana kerana orang ramai berisiko menjadi mangsa scammer.

“Pihak bank disarankan mencari kaedah lain yang lebih efektif untuk berurusan dengan pelanggan terutama yang melibatkan panggilan telefon,” katanya.

Pada masa sama, orang ramai yang pulang beraya di kampung digalakkan untuk berkongsi maklumat berkaitan taktik dan modus operandi sindiket kepada sanak saudara.

“JSJK menasihatkan supaya semua jenis operandi dikongsikan kepada ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai dalam suasana ziarah menziarah di hari raya.



“Sebaran komunikasi secara bersemuka adalah lebih berkesan untuk memberi kesedaran kepada satu sama lain,” katanya.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button