Ujian sukar nanti Man Utd

LONDON: Manchester United gagal memintas Real Sociedad di persada Kumpulan E Liga Europa walaupun menang 1-0 di San Sebastian ketika Arsenal turut mengesahkan tempat ke kelompok 16 terakhir sebentar tadi.

United kini berdepan pertembungan playoff bertemu pasukan yang jatuh ke saingan Liga Europa dari Liga Juara-Juara pada Februari dengan Barcelona dan Juventus berpotensi menjadi lawan mereka.

Alejandro Garnacho menjaringkan gol tunggal pada aksi di Reale Arena selepas 17 minit seterusnya mengatasi George Best sebagai pemain termuda United bukan daripada England menjaringkan gol di Eropah pada usia 18 tahun.



Namun skuad Red Devils perlu menyesali kekalahan mereka di tangan kelab Sepanyol itu di Old Trafford pada perlawanan pertama kerana mereka terlepas kedudukan teratas berdasarkan perbezaan gol.

“Anda tidak selalunya dapat apa yang anda berhak – itulah bola sepak,” kata pengurus United, Erik Ten Hag.

“Kami menang hari ini, tapi tentu sahaja kami kecewa tidak menjaringkan dua gol seperti yang kami perlukan.”

Arsenal bagaimanapun tidak melakukan kesilapan sama apabila kemenangan 1-0 mengatasi FC Zurich sudah cukup untuk mengekang PSV Eindhoven di persada Kumpulan A.



Namun skuad kendalian Mikel Arteta perlu bekerja keras untuk mendapatkan tiga mata selepas sepakan awal Kieran Tierney meletakkan mereka di depan.

Arteta perlu menggunakan pemain simpanan pada babak kedua dengan Bukayo Saka dan Thomas berdepan risiko bagi kunjungan ke Chelsea Ahad ini dalam Liga Perdana.

Dan Gunners bernasib baik apabila cubaan Adrian Guerrero buat juara Switzerland itu disahkan offsaid.

Sementara itu Roma menang pertembungan dengan Ludogorets Razgrad untuk mara ke pusingan playoff selepas bangkit di ibu kota Itali.



Juara Liga Conference Europa itu kembali selepas kelab Bulgaria itu mendahului 1-0 pada babak pertama.

Namun dua penalti oleh Lorenzo Pellegrini dan gol lewat Nicolo Zaniolo memberikan kemaraan buat skuad kendalian Jose Mourinho.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button