Qatar tamatkan era gemilang Suarez-Cavani
MONTEVIDEO: Selama lebih satu setengah dekad, pasukan bola sepak kebangsaan Uruguay diketuai pasangan penyerang terhebat, namun pemain veteran, Luis Suarez dan Edinson Cavani akan menuju Piala Dunia terakhir mereka dan semakin menghampiri era persaraan.
Dilahirkan hanya selang 21 hari di bandar utara dekat Salto, pemain berusia 35 tahun itu sudah beraksi dengan banyak kelab berprestij Eropah dan tidak pernah gagal menyinar buat negara mereka.
Karier menakjubkan itu menjadikan mereka dua penjaring gol terhebat dalam sejarah bersama jersi Celeste kebangsaan: Suarez mengumpul 68 gol dalam 134 perlawanan manakala Cavani 58 daripada 133 aksi.
Selama 15 tahun mereka menjadi tonggak Uruguay yang mara ke separuh akhir Piala Dunia di Afrika Selatan pada 2010 sebelum merangkul Copa America tahun berikutnya.
Ini akan menjadi Piala Dunia keempat mereka dan akan terus menjadi wira buat pasukan walaupun sudah berusia.
“Mereka pasangan penyerang terbaik dalam sejarah Celeste,” kata wartawan ESPN, Diego Munoz kepada AFP.
“Mereka melupakan ego, sentiasa meletakkan pasukan di atas dan saling memperkuatkan sesama sendiri. Mereka amat penting kepada generasai yang kembali ke pasukan kebangsaan dan memberikan harapan buat rakyat.”
Selepas mereka menggantung but, pastinya kelibat mereka akan dirindui.
Pasangan penyerang itu menjamin “potensi menjaringkan gol yang jarang dapat dilakukan Celeste, sekurang-kurangnya dalam tempoh 60 tahun lalu,” kata wartawan Luis Prats yang juga penulis banyak buku sejarah bola sepak.
“Bergantung kepada mereka memberikan anda keyakinan bahawa anda boleh menang perlawanan sengit dengan hanya beberapa peluang kecil. Anda hanya perlu berikan mereka bola dan mereke menyudahkannya.
“Selain itu mereka ada persefahaman yang bagus: Cavani mencipta banyak peluang untuk gol Suarez begitu juga sebaliknya.”
Piala Dunia Qatar akan menamatkan era perubahan di bawah kendalian bekas jurulatih ikon, Oscar Tabarez, yang menghabiskan 15 tahun di sana dan membawa pasukan itu bukan hanya menang Copa America sejak 1995 malah mara ke separuh akhir Piala Dunia sejak 1970.
Di bawah jurulatih baharu, Diego Alonso, Uruguay kini membina bakat baharu bersama bintang Real Madrid, Federico Valverde, Darwin Nunez dari Liverpool dan pemain tengah Tottenham Hotspur, Rodrigo Bentancur.
Bagaimanapun ada sesuatu yang unik mengenai Suarez-Cavani yang pastinya tidak mampu diulangi.
AFP