Sepanyol kenduri gol belasah Costa Rica 7-0

DOHA: Sepanyol memulakan kempen Kumpulan E Piala Dunia 2022 dengan membelasah Costa Rica 7-0 di Stadium Al Thumama.

Babak pertama berakhir dengan Sepanyol mendahului tiga gol hasil jaringan Dani Olmo pada minit ke-11, diikuti jaringan Marco Asensio 10 minit kemudian.

Ferran Torres memastikan kedudukan selesa buat skuad La Roja apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-31.



Sepanyol turut mencatat rekod baharu sebagai pasukan pertama sejak tahun 1966 melengkapkan lebih 500 hantaran (537) sepanjang babak pertama.

Bersambung babak kedua, Torres menambah jaringan untuk skuad kendalian Luis Enrique pada minit ke-54 dengan gerakan solo dalam kotak penalti Costa Rica.

Sepanyol terus menghukum benteng Costa Rica apabila Gavi yang berusia 18 tahun 110 hari, menjadi pemain ketiga termuda menjaringkan gol di Piala Dunia selepas Pele (17 tahun 249 hari) dan Manuel Rosas (18 tahun 99 hari).

Derita Costa Rica tidak berakhir di situ apabila dua gol lagi dijaringkan menerusi Carlos Soler dan Alvaro Morata pada minit ke-90 dan 92.



Sepanyol kini mendahului kumpulan bersama Jepun yang mengejutkan Jerman 2-1 pada aksi sebelum itu.

AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button