PAS Kelantan nafi syarat undi PAS sebelum beri duit tambang balik mengundi



PETALING JAYA: PAS Kelantan menafikan dakwaan kononnya mengarahkan pengundi yang pulang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bersumpah mengundi parti itu sebelum diberikan bantuan bayaran tambang.

Setiausaha PAS Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat, berkata sebaliknya parti itu hanya membantu pengundi dari luar negeri untuk memudahkan mereka pulang mengundi.

“Ia bertujuan meringankan beban mereka yang terpaksa menanggung kos perjalanan tinggi khususnya yang kurang berkemampuan,” katanya kepada FMT.

Wan Roslan berkata, setiap bantuan diberikan kepada mereka yang layak termasuk tambang perjalanan pulang, tanpa mengira parti mana yang diundi.



“PAS tak pernah mengarahkan bersumpah atas nama Allah, PAS hanya membantu pengundi yang balik dari jauh bersusah-payah untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.

“Kita (PAS) tidak pernah tanya pun undi parti apa, hanya kita tanya dari mana dia balik ke Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pertahan Kelantan, Nazman Che Ibrahim, berkata bersumpah dengan nama Allah parti mana yang diundi pada pilihan raya bukan budaya PAS.

“Ia fitnah dicipta lawan untuk memburukkan parti itu. Sumpah undi siapa bukan amalan PAS, itu fitnah ‘desperado’ (merujuk golongan terdesak),” katanya.



Terdahulu, tular video menunjukkan beberapa individu didakwa diminta bersumpah dengan nama Allah bahawa mereka mengundi PAS sebelum diberikan bayaran tambang perjalanan untuk pulang mengundi.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker