Croatia tampil garang tewaskan Kanada 4-1
AL RAYYAN: Croatia bangkit daripada ketinggalan sebelum ‘mengajar’ Kanada yang kembali membuat penampilan di Piala Dunia selepas 36 tahun tidak menyertainya.
Naib juara 2018 itu meraih dua gol daripada Andrej Kramaric untuk melakar kemenangan 4-1 ke atas pasukan Kanada yang sudah tersingkir daripada kejohanan selepas dua perlawanan di Qatar.
Alphonso Davies menjaringkan gol pertama Kanada di Piala Dunia seawal minit kedua, namun Marko Livaja dan Lovro Majer juga menjaringkan gol buat Croatia-pasukan yang tewas di tangan Perancis pada pentas final empat tahun lalu di Russia.
Kapten Croatia berusia 37 tahun, Luka Modric yang bermain di bahagian tengah turut dilihat masih sedang memburu gol pertamanya dalam kejohanan kali ini yang mungkin penampilan terakhirnya di Piala Dunia.
Croatia dan Maghribi masing-masing kini mengumpul empat mata dalam Kumpulan F.
Belgium meraih tiga mata selepas dikecewakan Maghribi semalam dan mereka masih mempunyai peluang untuk mara ke pusingan 16 terbaik.
Kanada dalam pada itu tidak memperoleh sebarang mata daripada dua perlawanan dan tidak boleh mara ke pusingan seterusnya walaupun mereka menewaskan Maghribi pada aksi terakhir kumpulan, Khamis ini.
Davies yang bermain bersama Bayern Munich, memanfaatkan hantaran lintang Tajon Buchanan untuk menerjah gawang yang dikawal penjaga gol, Dominik Livakovic menerusi tandukannya seawal 1 minit 8 saat perlawanan.
“Saya kecewa dengan keputusan ini. Ia bukan sesuatu yang mudah,” kata Davies.
“Kami sudah melakukan yang terbaik, bermain sehabis baik di seluruh perlawanan. Kami akan bermain dengan baik pada perlawanan seterusnya dan berharap dapat meraih mata,” katanya.
Kramaric menjaringkan satu lagi gol buat Croatia pada minit ke-26, namun ia dinafikan kerana ofsaid.
Peluang keduanya hadir 10 minit kemudian dan ia menjadikan keputusan pada ketika itu, 1-1.
Livaja meletakkan Croatia berada di depan dengan satu rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-44, manakala Kramaric menambah jaringannya pada minit ke-70 sebelum Majer melengkapkan keputusan 4-1 pada masa tambahan.
AP