Malaysian Tigers langkah kiri di Afrika Selatan



POTCHEFSTROOM – FIH Hockey Men’s Nations Cup South Africa 2022
Malaysia v Korea (Pool B)
Picture:
WORLDSPORTPICS COPYRIGHT FRANK UIJLENBROEK

KUALA LUMPUR: Malaysia memulakan kempen Kejohanan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Piala Negara-Negara 2022 dengan langkah kiri apabila tumpas 1-0 kepada juara Asia, Korea Selatan, dalam aksi pembukaan Kumpulan B, di Afrika Selatan, hari ini.

Ibarat ulangan final Piala Sultan Azlan Shah pada 11 November lalu yang menyaksikan Malaysia menamatkan penantian 39 tahun dengan kemenangan 3-2, Korea Selatan menebus kekecewaan dengan mencipta jaringan tunggal seawal minit kelima menerusi pukulan sudut penalti oleh Jang Jonghunyun.

Pada perlawanan di Stadium NWU Astro, Potchefstroom, skuad ‘Malaysian Tigers’ kemudian cuba mengejar namun gagal menembusi gawang lawan termasuk gagal melengkapkan dua pukulan sudut penalti dan satu pukulan penalti sehingga tamat perlawanan.

Ketua jurulatih A. Arul Selvaraj berkata walaupun anak buahnya tewas, tetapi mereka beraksi dengan disiplin dan kemahuan yang tinggi untuk menang.



“Nampak kemahuan dan kecergasan pemain kita lebih baik daripada pemain Korea terutamanya pada suku keempat. Saya rasa kalau kita main dengan tekanan dan kelajuan macam ini, kita boleh menang dengan Kanada esok.

“Namun, kita perlu segera memperbaiki benteng pertahanan dan pemain mengambil semula kedudukan dengan pantas sebelum aksi esok,” katanya menerusi video yang dikongsikan.

Kumpulan B terdiri dari Malaysia, Kanada, Korea Selatan dan Jepun manakala Kumpulan A dibarisi Perancis, Ireland, Pakistan dan tuan rumah, Afrika Selatan.

Pada satu lagi aksi kumpulan sama, Jepun membenam Kanada 3-0.



Selepas liga satu pusingan, dua pasukan terbaik dalam kumpulan layak ke separuh akhir.

Untuk rekod, juara kejohanan itu akan layak secara automatik ke Liga Pro FIH yang menghimpunkan pasukan terbaik dunia bagi musim 2023-2024.

BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker