Pertembungan Messi, Lewandowski
DOHA: Dua penyerang yang digeruni dalam bola sepak dunia, Lionel Messi dari Argentina dan Robert Lewandowski dari Poland akan membuat perhitungan antara satu sama lain dengan tiket ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia menjadi buruan kedua-dua pemain berkenaan.
Messi, 35, sudah meledak dua gol buat Argentina yang mengharungi permulaan ‘luar biasa’ pada kempen kali ini apabila mengalami kekalahan mengejutkan dalam sejarah kejohanan selepas tewas di tangan Arab Saudi sebelum dia menjadi watak penting membatu pasukan mengatasi Mexico.
Penyerang Paris Saint Germain itu beraksi dalam kempen Piala Dunia kelima dan terakhir buat dirinya sekali gus menjadi peluang terakhir untuk dia menyamai rekod Diego Maradona dan menjulang trofi berprestij berkenaan.
“Kami perlu kekal tenang untuk dapat menghadapi perlawanan menentang Poland dengan cara yang berbeza,” kata Messi selepas tekanan luar biasa ketika berdepan Mexico.
Argentina yang berada di kedudukan kedua Kumpulan C dengan tiga mata, satu mata di belakang Poland, mereka perlu menang untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik dan kekal bersaing bagi memburu gelaran ketiga di Piala Dunia.
Keputusan seri juga memadai buat Argentina jika Mexico dan Arab Saudi turut mengakhiri perlawanan mereka dengan keputusan seri.
Seperti Messi, Lewandowski yang berusia 34 tahun juga adalah penjaring terbanyak buat negaranya dan ini adalah pentas Piala Dunia terakhir buat dirinya.
Dia berada di kemuncak prestasinya bersama bekas kelab Messi, Barcelona dan bermula dengan baik di Qatar.
Lewandowski gagal menyempurnakan penalti ketika seri dengan Mexico pada aksi pembukaan sebelum menjaringkan gol pertamanya di Piala Dunia bagi membantu Poland menewaskan Arab Saudi 2-0.
“Saya fikir semakin berusia, semakin emosional. Saya sedar ia mungkin Piala Dunia terakhir saya,” kata kapten Poland itu.
REUTERS