Aset rizab rasmi Malaysia AS$105.23 bilion



KUALA LUMPUR: Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$105.23 bilion pada akhir Oktober 2022, berdasarkan format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Dalam kenyataan Pemakluman Terperinci Rizab Antarabangsa pada Akhir Oktober 2022 hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, aset mata wang asing lain berjumlah AS$5.8 juta.

Bank pusat itu berkata, butiran terperinci rizab antarabangsa itu memberi maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, aset mata wang asing lain selain jangkaan, prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi Kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.

“Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing berjumlah AS$13.52 bilion.



“Aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negara oleh Kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing BNM. Kedudukan jualan hadapan adalah sebanyak AS$24.38 bilion pada akhir Oktober 2022, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” katanya.

Menurut BNM, sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.

Selain itu, unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah AS$1.94 billion untuk tempoh 12 bulan akan datang.

BNM berkata, satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negara dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh setahun berjumlah US$399.4 juta.



“Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya.

Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir Oktober 2022 adalah tetap boleh guna, kata BNM.

BERNAMA





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker