Asyraf minum susu ikut wayar

Gua Musang: Hidup seorang pemuda di Kampung Lepan Jaya di sini, berubah 100 peratus apabila dijangkiti kuman pada paru-paru dan otak hingga menyebabkannya terlantar sejak dua bulan lalu.

Muhammad Asyraf Ismail, 24, hanya terlantar dan mengharapkan penjagaan sepenuhnya daripada ibunya, Norizan Mahasan, 54.

Norizan berkata, Asyraf menggunakan bantuan oksigen sejak terlantar dan mengharap penjagaan daripadanya.



Katanya, Asyraf tidak boleh makan dan minum serta hanya mengharapkan susu yang diberikan melalui wayar yang menyebabkan berat badannya susut mendadak.

“Bermula September lalu, Asyraf hanya terlantar dan segala urusan penjagaannya diuruskan saya dengan bantuan ahli keluarga termasuk menukar lampin, membersihkan badan serta memberi susu melalui wayar.

“Kami difahamkan Asyraf mempunyai jangkitan kuman di paru-paru dan otak sehingga menyebabkan dia hanya terlantar dan menggunakan alat bantuan oksigen,” katanya ketika di temui di rumahnya di Kampung Lepan Jaya di sini.

Norizan berkata, pada mulanya anak keenam itu hanya mengalami demam biasa sebelum dibawa pulang ke rumah dan seterusnya dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai.



“Anak dirawat di HSIP selama 10 hari sebelum dibawa pulang dan perlu menggunakan oksigen. Alatan bantuan pernafasan ini disewa di sebuah farmasi dengan harga lebih RM300.

“Asyraf diberi susu khas dan kami perlu menghabiskan RM500 sebulan untuk membeli susu sahaja tidak termasuk lampin pakai buang,” katanya.

Menurut Norizan, dalam dua bulan sejak Asyraf sakit perbelanjaan menguruskannya dikongsi bersama ahli keluarga selain duit sedekah daripada jiran tetangga yang datang menziarah.

Katanya, bapa Asyraf, Ismail Dris, 61, bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan yang tidak menentu kerana bergantung kepada permintaan pelanggan.



“Sejak Ogos lalu, pendapatan suami merosot kerana kurang mendapat permintaan daripada pelanggan kerana faktor cuaca.

“Saya belum membuat permohonan bantuan untuk Asyraf dan berharap ada rezeki anak bagi mendapatkan sumbangan alat bantuan pernafasan serta bantuan bulanan untuk membeli keperluannya,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button